mutakhir

Suami duka isteri ghaib

Oleh Nur Afiradina Arshad

Kuala Lumpur: Ramai antara wanita warga asing yang berkahwin dengan lelaki tempatan bertindak melarikan diri berpunca selepas gagal menyesuaikan diri dengan cara hidup tempatan selain terlalu rindukan negara asal.

Perkara itu diakui Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong yang memberitahu pihaknya menerima tujuh kes ‘suami duka’ yang kehilangan isteri warga asing sejak awal tahun ini.

Menurutnya, ramai lelaki tempatan yang sukar mendapatkan jodoh dikesan menggunakan khidmat agensi temu jodoh yang menawarkan wanita warga Vietnam, Thailand atau Kemboja untuk dikahwini.

“Bagaimanapun perkahwinan itu sukar bertahan lama apabila si isteri tiba-tiba ghaib menghilangkan diri dengan meninggalkan suami serta anak.

“Akibatnya si suami bertindak membuat laporan dan meminta bantuan kepada kami bagi menjejaki isteri masing-masing,” katanya.

Beliau turut menasihati rakyat Malaysia supaya fikir sedalam-dalamnya sebelum berkahwin dengan warga asing kerana perkara ini akan menimbulkan banyak masalah.

“Antara aduan yang diterima termasuk warga asing ini melarikan anak mereka tanpa sebarang jejak sehingga mengakibatkan ahli keluarga pihak di Malaysia bimbang,” katanya.

Terbaru semalam, seorang lelaki tempatan kehilangan isterinya warga Thailand yang dilaporkan hilang dan masih belum ditemui sejak Februari lalu.

Mangsa, Cheong Chun How, 24, memberitahu isterinya, Nittaya Chamnangan, 26, sedang mengalami masalah kemurungan selepas melahirkan anak mereka lima bulan lalu.

“Selepas melahirkan anak kami, dia banyak diam dan beberapa kali cuba mengugut untuk membunuh diri.

“Dia akan mengambil gambar cubaan membunuh diri itu dan menghantarnya kepada saya semasa saya sedang bekerja,” katanya.

Chun How yang bekerja sebagai jurujual mengetahui kehilangan teman wanita itu apabila diberitahu bapanya ketika dia sedang bekerja pada 27 Februari lalu.

“Kehilangan Nittaya mengakibatkan anak lelaki saya Brandon Cheong yang berusia lima bulan tidak dapat didaftarkan sebagai warganegara.

Sejak hilang pada hari berkenaan Nittaya gagal dihubungi dan tidak pulang ke rumah.

Susulan itu laporan sudah dibuat di Balai Polis Kuantan, Pahang.

“Sesiapa yang menjumpai wanita itu boleh menghubungi di nombor telefon 017-9393131 (Cheong Chun How), 0322033888 Ibu pejabat MCA atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Disiarkan pada: March 27, 2018 @ 9:22am
d