mutakhir

MDKP ambil alih pengeluaran lesen anjing

Oleh Amran Yahya

BERMULA 1 April ini, pengeluaran lesen anjing di Kuala Pilah termaktub di bawah kelolaan Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP).

Yang Dipertua MDKP, Syahrul Nizam Saleh berkata, pemilik perlu mengambil borang di MDKP dan mendapatkan pengesahan kesihatan anjing daripada Pejabat Veterinar daerah.

"Kelulusan permohonan lesen akan diberikan dan setiap permohonan lesen dikenakan bayaran RM10 untuk setahun dan menerima lencana dengan tertera nombor siri," katanya.

Menurutnya, pemegang lesen anjing perlu mematuhi undang-undang kecil perlesenan anjing MDKP 1991.

"Mereka perlu patuhi syarat dan tidak melanggar peraturan yang ditetapkan.

"Pemilik tidak boleh membiarkan anjing peliharaan tanpa memakai lencana dan kolar, menyimpan atau melindungi melebihi dua anjing dalam rumah tanpa kelulusan MDKP.

"Pemilik juga tidak boleh jadikan rumah kediaman sebagai tempat pembiakan untuk menjual dan membiarkan anjing berusia tiga bulan dan ke atas berkeliaran di luar kawasan rumah tanpa pengawasan," katanya.

Syahrul Nizam berkata, pemilik anjing yang melanggar undang-undang itu boleh dikenakan denda RM500 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

"Sebarang pertanyaan berkaitan permohonan lesen anjing MDKP, boleh hubungi bahagian perlesenan dan kesihatan MDKP ditalian 06-4812075 atau 06-4814025," katanya.

Difahamkan, sebelum ini, lesen pengeluaran anjing dilaksanakan oleh Pejabat Veterinar daerah.

Disiarkan pada: March 27, 2018 @ 4:48pm
d