mutakhir

Angkara kedekut

Oleh Helmy Abd Rahman

Kuala Terengganu: Disebabkan kedekut untuk mengeluarkan RM1,140 bagi membaiki kereta, seorang bekas pengurus besar berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM10,000.

Tertuduh, Sa’adon Che Yahya, 54, yang juga bekas Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dakwaan membuat tuntutan palsu, tiga tahun lalu.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memalsukan invois pembaikan kenderaan pacuan empat roda Toyota Fortuner milik PPNT berjumlah RM1,140, sedangkan pembayaran dibuat untuk kenderaan pelbagai guna Toyota Wish miliknya.

Lelaki itu melakukan kesalahan berkenaan di pejabat PPNT di sini, pada 25 Januari 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Amer Abu Bakar Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 10 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Disiarkan pada: March 28, 2018 @ 3:52am
d