mutakhir

'Kami bukan main-main'

Oleh Skuad Khas Harian Metro

Putrajaya: Jaringan sindiket penyeludupan migran di negara ini tidak pernah mati meskipun kerajaan memperuntukan hukuman berat bagi kesalahan itu.

Jika seorang daripada mereka ditangkap pasti ada yang lain sanggup menyambung pekerjaan haram itu demi mengaut keuntungan berganda cara mudah.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, kebanyakan sindiket penyeludupan migran dibantu ataupun didalangi warga tempatan.

Menurutnya, imigresen bukan saja mengenal pasti dalang terbabit sebaliknya sebahagian daripada mereka ditangkap dan didakwa.

“Saya yakin ketika kami bercakap sekarang, masih ramai dalang atau ahli sindiket berkeliaran di luar sana,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya di sini, kelmarin.

Metro Ahad menerusi laporan khas sebelum ini mendedahkan aktiviti penyeludupan migran termasuk yang membabitkan etnik Rohingya yang menjadikan Bukit Kobeh atau Khoa Ko Be sebagai laluan terbaru bagi kegiatan haram itu.

Mustafar berkata, sindiket penyeludupan migran kini beralih ke Bukit Kobeh atau Khao Ko Be selepas pihaknya menggempur laluan sekitar Durian Burung, Kedah.

“Saya percaya, disebabkan operasi kita di Durian Burung, sindiket beralih ke Bukit Kobeh. Sindiket memang sentiasa bergerak dan selepas laluan penyeludupan diserbu, mereka berpindah ke kawasan sempadan yang lain,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mustafar berkata, sindiket dipercayai mengumpan migran dengan menawarkan pekerjaan kepada mereka.

“Kadangkala, pekerjaan dijanjikan tidak wujud, bila migran masuk ke Malaysia mereka dikurung sebelum dijual. Sebelum ini ada kes, 89 migran disumbat di dalam sebuah rumah kedai di Seri Kembangan,” katanya.

Menjawab soalan wartawan, Mustafar berkata, ada segelintir majikan cuba mengelak daripada menggaji pekerja asing dengan cara sah kerana mahu mengaut keuntungan.

“Alasan proses permohonan lambat tidak logik. Sistem sekarang semua atas talian. Majikan mahu menggaji pekerja asing kerana nak jimat kos berbanding ambil orang tempatan.

“Bila kami tangkap nanti majikan kata ‘oh, kami takde (tidak ada) pekerja...nanti syarikat tutup. Dia (majikan) tak boleh ugut negara hanya kerana mahukan pekerja haram.

“Imigresen tidak berkompromi dalam isu keselamatan negara, kami boleh kompaun dan bawa majikan ke mahkamah termasuklah membekukan semua aset mereka. Akaun sebuah syarikat antarabangsa bernilai RM25 juta kami bekukan. Kami bukan main-main,” katanya.

Disiarkan pada: March 28, 2018 @ 4:22am
d