mutakhir

Maut gara-gara elak lubang

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Seorang lelaki meninggal dunia manakala rakannya parah selepas motosikal ditunggang bertembung sebuah van yang mengelak lubang di jalan dalam Jimah Power Plant di sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Zainudin Ahmad berkata, kejadian jam 8.20 malam itu membabitkan Modenas Kriss ditunggang Aimi Ezani, 24, dan dibonceng Muhammad Yazmir Yusof, 28.

“Penunggang motosikal maut di lokasi kerana parah di kepala manakala rakannya parah di kepala selain patah tulang paha kiri.

“Polis juga sedang mengesan pemandu Ford Econovan dengan nombor pendaftaran JEA 7821 yang melarikan diri selepas kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Zainudin berkata, ada serpihan komponen kenderaan di tengah jalan yang tidak bertanda itu dan pihaknya mendapatkan bantuan anggota forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan untuk mendapatkan cap jari bagi mengesan pemandu van terbabit.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: March 28, 2018 @ 4:24am
d