mutakhir

Dulu aktif kini lesu

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: “Dia anak yang aktif dan berbakat dalam bola sepak sehingga dinobatkan penjaga gol nombor satu Rembau bagi kategori bawah 12 tahun.

“Tapi, saya tidak menyangka dia kini terlantar selepas menghidap penyakit yang tidak diketahui dan belum dapat dikesan punca sebenar,” kata Siti Nurhidayah Nordin, 31, ibu kepada Mohd Haikal Mohd Hanafi, 12, pemain bola sepak bawah 12 tahun Negeri Sembilan yang juga pelatih Program Pembangunan Bola Sepak Akar Umbi Negeri Sembilan.

Siti Nurhidayah yang kini menetap di Sepri, Rembau berkata, kesihatan anak sulung daripada empat beradik itu terganggu sebaik menamatkan penyertaan dalam kejohanan bola sepak empat penjuru di Alor Setar, Kedah pada 10 Mac lalu.

Menurutnya, dalam kejohanan itu Mohd Haikal yang juga murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Sepri Rembau mewakili kelabnya, R&W Rembau Wanted FC.

“Ketika perlawanan itu, dikatakan berlaku kekasaran dengan pemain lawan menyebabkan Mohd Haikal cedera di belakang badan ketika dia ingin menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

“Kembali ke Rembau, Haikal memberitahu tangan kirinya tiba-tiba menjadi lemah dan saya bersama suami (Mohd Hanafi Sidek, 32) terus membawanya ke klinik berhampiran bagi mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Tampin, Jumaat lalu selepas mendapati kesihatannya tidak berubah.

“Saya kemudian membawanya ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) pada malam Ahad selepas mendapati suhu badannya terlalu panas selain hilang selera makan dan kurang bercakap,” katanya ketika ditemui di HTJ.

Berita Mohd Haikal turut menjadi viral di laman sosial Facebook sejak Ahad lalu.

Siti Nurhidayah berkata, pihaknya diberitahu doktor mengenai jangkitan kuman dalam badan anaknya selain ada masalah pada jantung.

Disiarkan pada: March 28, 2018 @ 4:35am
d