mutakhir

'Jika ada motosikal mudahkan saya cari rezeki'

Oleh Noorazura Abdul Rahman

BERGERAK dan bekerja dengan hanya menggunakan kudrat tangan, seorang pemuda sindrom down yang turut cacat fizikal di bahagian kaki tidak pernah menjadikan kekurangan itu sebagai penghalang untuknya berdikari mencari rezeki.

Setiap hari pada jam 4 petang, Mohamad Ridzuan Khalid, 29, dari Kampung dari Padang Kunyit Mukim Telaga Mas di Alor Setar akan mengayuh basikal beroda tiga yang direka khas untuknya ke beberapa buah kampung bagi menjual ikan masin, aiskrim Malaysia dan kuih siput.

Dia lebih senang melakukan kerja itu biarpun terpaksa mengerah kekuatan tangannya ke tahap maksimum demi sesuap nasi.

"Sejak tahun lalu saya terfikir untuk mencari rezeki sendiri daripada terus mengharapkan bantuan orang, mujurlah penduduk kampung ini prihatin dengan nasib saya dan mereka mengumpulkan dana bagi mencipta sebuah basikal roda tiga yang dapat dikayuh dengan tangan serta membawa barang jualan.

"Saya kayuh dari kampung ke kampung yang lain, yang paling laris ialah aiskrim Malaysia terutama pada musim panas, kadang-kadang saya hanya dapat menjual kira-kira RM4 sehingga RM20 sehari dan ada kalanya pulang dengan hampa," kata anak tunggal ini.

Dia kini berhasrat untuk memiliki sebuah motosikal roda tiga bagi menjual barangannya ke tempat yang lebih jauh selain memudahkannya bergerak berikutan kerap sakit badan dan tangan kesan kayuhan.

"Saya perlukan sebuah motosikal bagi memudahkan pergerakan saya, setiap kali kayuh basikal, habis seluruh badan akan sakit terutama di bahagian bahu dan tangan.

"Selain itu, saya tidak mahu terlalu bergantung kepada saudara mara, mereka sudah banyak membantu sejak saya kecil, dengan adanya motosikal, sekurang-kurangnya saya dapat bergerak sendiri ke mana sahaja," katanya.

Bercerita lanjut, Mohamad Ridzuan berkata dia sangat bersyukur dibesarkan dengan baik oleh ibunya Rodziah Nik Cha, 53, yang juga orang kurang upaya (OKU) setelah berpisah dengan bapanya sejak kecil.

Katanya, walaupun menerima bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan, namun dia tetap mahu bekerja bagi membuat sedikit simpanan untuk digunakan semasa kecemasan dan sakit.

"Pada awal tahun ini juga saya mula ke sekolah pendidikan khas, walaupun umur saya sudah menjangkau 30-an tapi saya mahu belajar membaca seperti orang lain kerana saya tidak berpeluang ke sekolah semasa kecil akibat dihimpit kemiskinan.

"Setiap hari saya akan ke sekolah bermula pukul 9 pagi sehingga 12 tengahari, kini saya baru hendak mengenali huruf A B C, saya terpaksa buang perasaan malu dan berharap dapat membaca suatu hari nanti, saya mahu menjadi contoh kepada OKU lain agar tidak mudah menyerah kepada nasib," katanya.

Disiarkan pada: March 28, 2018 @ 12:19pm
d