mutakhir

Ajal tiba selepas bertarung nyawa

Oleh Junaidi Ladjana

LELAKI koma akibat ditumbuk kerana menganggu teman wanita lelaki lain akhirnya meninggal dunia, awal pagi hari ini selepas lebih tiga hari 'bertarung nyawa'.

Mangsa, 47, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1), Kota Kinabalu pada 12.04 tengah malam.

Menurut sumber, sebelum kejadian mangsa bersama adiknya menghadiri majlis kematian 40 hari mendiang ibu saudara mereka di Kampung Botung, Tambunan di Keningau.

Katanya, mereka dikatakan minum minuman keras sebelum mangsa mabuk dan didakwa cuba memegang badan seorang wanita di majlis itu.

“Kekasih wanita itu yang melihat kejadian kemudian berang lalu menumbuk muka mangsa menyebabkan dia terjatuh dan kepalanya terhantuk pada simen," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang tidak sedarkan diri dibawa ke Hospital Tambunan sebelum dipindahkan ke HQE 1, Kota Kinabalu kerana dipercayai terdapat darah beku dalam kepalanya.

“Pada tengah malam tadi, pihak HQE 1 memaklumkan mangsa meninggal dunia dan punca kematian belum dipastikan kerana menunggu laporan bedah siasat.

“Lelaki berusia 39 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu sudah ditahan untuk siasatan,” katanya.

Katanya, soal siasat mendapati suspek mengaku menumbuk dagu mangsa kerana lelaki itu memegang tangan dan cuba memeluk teman wanitanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Ahmad Jawila ketika dihubungi mengesahkan kejadian, berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Disiarkan pada: March 28, 2018 @ 1:59pm
d