mutakhir

Pesakit mental hidup sebatang kara

Oleh Amran Yahya

PESAKIT mental yang tinggal sebatang kara di Kampung Baru Lanjut Manis, Terachi, Kuala Pilah, merayu bantuan orang ramai bagi membaik pulih rumah pusaka usang yang menjadi tempatnya berteduh sejak enam tahun lalu.

Abu Ni'man Ismail, 53 yang berstatus orang kurang upaya (OKU) tinggal dalam rumah tanpa bekalan elektrik selain bumbung bocor dan lantai reput.

Abu Ni'man tinggal sendirian di dalam rumah yang uzur itu selepas kematian ibu, Mausiah Basir dan ayahnya, Ismail Orang Kaya, manakala isterinya yang juga berstatus OKU mental dikatakan tinggal bersama keluarganya di Johol.

Menurutnya, rumahnya tiada bekalan elektrik kerana masalah litar pintas dan terpaksa dipotong bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini terutamanya ketika hujan.

"Disebabkan kerap berlaku litar pintas terutama apabila hujan, saya terpaksa memotong bekalan elektrik dengan bantuan jiran bagi mengelak rumah terbakar.

"Namun disebabkan masalah kewangan, saya tidak mampu menggantikan pendawaian dan terpaksa menggunakan lilin pada waktu malam," katanya ketika ditemui.

Abu Ni'man berkata, dia juga terpaksa berhati-hati apabila memijak lantai rumah kerana banyak yang sudah reput dimamah anai-anai.

Katanya, dia masih menjalani rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) dengan dijemput oleh pengurusan hospital berkenaan di rumahnya setiap hari.

Sementara itu jirannya, Abidin Kamarudin, 62, berkata dia amat bersimpati dengan kesempitan hidup Abu Ni'man yang terpaksa menggunakan lilin setiap malam.

"Melihatkan pada fizikal, memang dia nampak normal tetapi dia mengalami masalah gangguan mental yang memerlukan sokongan orang kampung.

"Saya serta orang kampung menyediakan makanan dan minum untuk dia secara bergilir-gilir setiap hari selain pihak hospital datang mengambilnya setiap hari untuk menerima rawatan," katanya.

Kata Abidin, dia difahamkan ada pihak yang menjanjikan peruntukan sebanyak RM10,000 sejak setahun lalu untuk membaiki bumbung dan lantai rumah Abu Ni'man, namun sehingga kini masih belum nampak hasilnya.

"Saya difahamkan permohonan sudah dibuat kepada Baitulmal daerah dan masih menunggu tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, pejabat Baitulmal daerah ketika dihubungi memberitahu batuan baik pulih rumah Abu Ni'man sudah diluluskan dan kerja akan dilaksanakan minggu ini.

Disiarkan pada: March 28, 2018 @ 5:14pm
d