mutakhir

RM1,000 je kau jual?

Oleh Mohd Roji Kawi

RM1,000, itu nilai kereta Perodua Myvi milik wanita yang juga pemandu Grab yang dilarikan penyamun, pada 23 Mac lalu.

Kereta berkenaan ditemui sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak dalam serbuan di bengkel membaiki kenderaan di Jalan Stephen Yong, Kuching, 2.30 petang tadi.

Ketua JSJ Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, pada 9.30 malam 23 Mac lalu, pemandu Grab wanita berusia 45 tahun menerima pesanan penumpang menerusi aplikasi mudah alih e-hailing.

Penumpang terbabit meminta diambil dari rumah di Lorong 14, Jalan Stapok di sini untuk dihantar ke destinasi di pusat sukan di Jalan Stakan.

Bagaimanapun, selepas tiba di destinasi, penumpang lelaki itu tiba-tiba meminta dihantar ke satu lokasi lain di Muara Tuang, konon untuk mengambil motosikalnya.

Dev berkata, sebaik melalui di hadapan sebuah kilang di Jalan Muara Tuang pada 10 malam, suspek tiba-tiba mengeluarkan parang dan meletakkannya di leher mangsa sebelum mengarahkan mangsa keluar dari kereta.

"Suspek kemudian melarikan diri dengan kereta Perodua Myvi mangsa. Turut dilarikan telefon bimbit dan dokumen peribadi mangsa.

"Mangsa kemudian berjaya menahan kenderaan lain dan meminta dihantar ke Balai Polis Sekama untuk membuat laporan," katanya.

Beliau berkata, pasukan petugas khas D9 JSJ Sarawak diaktifkan untuk mengesan suspek dan kenderaan yang dicuri.

Kira-kira 4 petang semalam, pasukan terbabit membuat serbuan di hotel bajet di Tabuan Jaya.

"Suspek yang menyedari kehadiran polis bertindak melarikan diri melalui tingkap dan bersembunyi di kedai berdekatan hotel bajet berkenaan, namun berjaya ditahan.

"Polis yang menggeledah bilik sewa suspek selepas itu menemui sebilah parang dan ketika disoal, suspek mengaku melakukan samun itu serta mengaku sudah menjual kereta mangsa di bengkel di Jalan Stephen Yong dengan harga hanya RM1,000," katanya.

Katanya lagi, berdasarkan maklumat itu, serbuan dilakukan terhadap bengkel berkenaan petang tadi dan menemui kereta mangsa dengan nombor chasisnya sudah dirosakkan.

"Seorang lelaki berusia 39 tahun iaitu pemilik bengkel berkenaan ditahan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

"Suspek utama sudah direman tujuh hari manakala pemilik bengkel akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah tahanan reman, esok," katanya.

Disiarkan pada: March 28, 2018 @ 10:14pm
d