mutakhir

Azmin Ali tak 'gentleman'

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman; Meor Riduwan Meor Ahmad; Adib Povera; Mohd Iskandar Ibrahim; Hidir Reduan; Nor Ain Mohamed Radhi dan Ahmad Suhael Adnan

SIDANG Dewan Rakyat kecoh seketika semasa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) membahaskan usul laporan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya, hari ini.

Ia berikutan keengganan Menteri Besar Selangor itu memberikan ruang kepada Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai Besar) yang berulang kali bangkit untuk mencelah sepanjang 10 minit perbahasan.

Budiman mula berdiri meminta pencelahan ketika wakil rakyat pembangkang itu mendakwa wujud pembahagian tidak sekata antara kawasan pilihan raya dalam laporan kajian semula persempadanan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Ini bertentangan dengan Fasal 2(c) Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bilangan pemilih dalam kawasan pilihan raya patutlah lebih kurang sama banyak," katanya.

Mohamed Azmin bagaimanapun enggan memberi laluan dan meneruskan perbahasan walaupun Budiman terus memohon ruang mencelah.

Sebaliknya Timbalan Presiden PKR menyindir wakil rakyat Sungai Besar itu dalam perbahasannya dengan mendakwa beliau tidak mempertahankan rakyat Selangor, menyebabkan Budiman itu sekali lagi bangkit untuk pencelahan.

"Berilah ruang Gombak kalau 'gentleman'. Sungai Besar orang kecil saja, bagi la peluang celahan. Pandanglah muka Sungai Besar.

"Berilah celahan satu, 30 saat saja. Saya bukan Menteri Besar, saya Sungai Besar saja, Gombak. Itu pun tak boleh bagi peluang. Kesian rakyat Selangor dapat Menteri Besar begini," kata Budiman menyindir Mohamed Azmin yang tetap meneruskan perbahasannya.

Terdahulu, Budiman dalam sesi perbahasannya sudah menjelaskan mengenai dakwaan pembangkang kononnya wujud pengagihan tidak sekata antara kawasan pilihan raya.

"Dalam Jadual 13, disebut setiap bahagian pilihan raya dalam satu negeri patutlah lebih kurang sama. Pembangkang hanya baca sekerat saja.

"Jika dibaca penuh, tertulis kecuali diambil kira kesulitan lebih besar untuk sampai kepada pemilih dalam daerah desa dan kesukaran lain dihadapi bahagian pilihan raya di luar bandar, ukuran pewajaran patut diberikan kepada bahagian pilihan raya," katanya.

Disiarkan pada: March 28, 2018 @ 10:23pm
d