mutakhir

Sejuta tudung

Oleh Roselan Ab Malek

Jerantut: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyumbang sejuta tudung kepada masyarakat Islam Kemboja, khususnya pelajar sekolah negara itu.

Sumbangan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) badan terbabit.

Presiden ANGKASA Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, ia juga selaras tindakan kerajaan Kemboja yang membenarkan wanita Islam di sana memakai tudung.

“ANGKASA diberi kepercayaan oleh koperasi untuk menguruskan penghantaran berkenaan bagi membantu masyarakat negara itu terutama pelajar Islam di sana.

“Kami mendapat kerjasama Kemboja Business Network dan Persatuan Wanita Muslim Kemboja yang berpusat di Phnom Penh untuk mengagihkan tudung berkenaan ke seluruh negara berkenaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan ANGKASA Pahang Zon 2 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), semalam.

Buat permulaan, Abdul Fattah berkata, ANGKASA menghantar 20,000 tudung pada 15 Mac lalu dan penghantaran kedua sumbangan berkenaan dibuat sebelum Ramadan.

Beliau berkata, pihaknya turut menyalurkan wang tunai bagi membeli kain pelekat untuk pelajar lelaki Islam serta membeli alat tulis bagi diagihkan kepada pelajar bukan Islam.

“Kami juga menggalakkan mana-mana pihak yang mahu menderma untuk berbuat demikian sekali gus dapat membantu dua pusat jahitan yang diusahakan oleh wanita Muslim di Phnom Penh.

“Sumbangan wang tunai membolehkan kami membuat tempahan di pusat berkenaan seterusnya membantu meningkatkan pendapatan mereka. Difahamkan, kos jahitan tudung di sana ialah sekitar RM10 bagi yang berkualiti baik,” katanya.

Abdul Fattah berkata, mereka yang berminat untuk memberi sumbangan boleh berbuat demikian menerusi pejabat ANGKASA di setiap negeri atau akaun CIMB Islamic Berhad 8600445433.

Diminta mengulas Laporan Program Transformasi Nasional (NTP), beliau berkata, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan memberi impak dan kesan positif kepada lapan juta ahlinya.

“Menerusi pelbagai program NTP, kerajaan berjaya memacu ekonomi koperasi, walaupun menghadapi pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan ekonomi dunia,” katanya.

Katanya, peningkatan pendapatan koperasi akan memberi faedah kepada ahli melalui pulangan dividen yang diberikan.

Tahun lalu, koperasi mencatat pendapatan berjumlah RM40 bilion berbanding RM39.6 bilion pada tahun sebelumnya.

Disiarkan pada: March 29, 2018 @ 3:44am
d