mutakhir

Maut bertembung bas ekspres

Oleh HM Digital

Lipis: Seorang kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Gua Musang maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang dipandunya bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 93 Jalan Lipis-Merapoh di sini, awal pagi semalam.

Kejadian jam 2.05 pagi itu mengakibatkan Mohd Najib Mohd Yusoff, 48, dari Taman Wangi, Gua Musang, Kelantan maut serta merta di tempat kejadian akibat parah pada bahagian kepala dan badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lipis Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Gua Musang manakala bas Ekspres Mutiara yang dipandu Mohamad Asri Sulaiman, 56, dari arah Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian bas berkenaan yang membawa 41 penumpang dirempuh dari arah depan oleh Perodua Alza dipandu mangsa.

“Siasatan mendapati Perodua Alza berkenaan dipercayai mahu memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya tetapi tidak lepas lalu bertembung dengan bas ekspres berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Disiarkan pada: March 29, 2018 @ 3:47am
d