mutakhir

Rempuh lori

Oleh Nor Azizah Mokhtar

Subang Jaya: Seorang pekerja swasta maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori rosak yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 6.6 Lebuhraya Elite dari Shah Alam ke Nilai, semalam.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu mangsa, Mohd Rasid Ahmad Za, 30, dari Kampung Permai Sungai Darah, Bestari Jaya, menunggang Honda EX5 meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, siasatan awal mendapati lori jenis Hino dipandu lelaki berusia 58 tahun itu dikatakan baru saja memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan kerana rosak.

“Mangsa dipercayai gagal mengelak dan merempuh bucu sebelah kanan belakang lori berkenaan menyebabkan lelaki itu bersama motosikalnya tercampak di lorong paling kiri.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2018 @ 4:12am
d