mutakhir

Sebatang kara di rumah uzur

Oleh Amran Yahya

Kuala Pilah: Seorang pesakit mental yang tinggal sebatang kara di Kampung Baru Lanjut Manis, Terachi di sini merayu bantuan orang ramai untuk membaik pulih rumah pusaka usang yang menjadi tempatnya berteduh sejak enam tahun lalu.

Selain tiada bekalan elektrik, Abu Ni’man Ismail, 53 yang berstatus orang kurang upaya (OKU) itu turut berdepan masalah bumbung bocor dan lantai rumah reput.

Abu Ni’man tinggal sendirian di dalam rumah yang uzur itu selepas kematian ibu, Mausiah Basir dan ayahnya, Ismail Orang Kaya, manakala isterinya yang juga berstatus OKU mental dikatakan tinggal bersama keluarganya di Johol.

Katanya, rumahnya tiada bekalan elektrik kerana masalah litar pintas dan terpaksa dipotong bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini terutamanya ketika hujan.

“Disebabkan kerap berlaku litar pintas terutama apabila hujan, saya terpaksa memotong bekalan elektrik dengan bantuan jiran bagi mengelak kebakaran.

“Namun, disebabkan masalah kewangan, saya tidak mampu menggantikan pendawaian dan terpaksa menggunakan lilin pada waktu malam,” katanya ketika ditemui di sini.

Abu Ni’man berkata, dia juga terpaksa berhati-hati apabila memijak lantai rumah kerana banyak yang sudah reput dimamah anai-anai.

Katanya, dia masih menjalani rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) dan dijemput oleh pengurusan hospital berkenaan di rumahnya, setiap hari.

Sementara itu, jirannya, Abidin Kamarudin, 62, berkata, dia amat bersimpati dengan kesempitan hidup Abu Ni’man yang terpaksa menggunakan lilin, setiap malam.

“Melihatkan pada fizikal dia memang nampak normal... tetapi dia mengalami masalah gangguan mental yang memerlukan sokongan orang kampung.

“Saya serta orang kampung menyediakan makanan dan minimum untuknya secara bergilir-gilir setiap hari selain pihak hospital datang mengambilnya setiap hari untuk menerima rawatan,” katanya.

Abidin berkata, dia difahamkan, ada pihak yang menjanjikan peruntukan sebanyak RM10,000 sejak setahun lalu untuk membaiki bumbung dan lantai rumah Abu Ni’man, namun sehingga kini belum berbuat demikian.

“Saya difahamkan permohonan sudah dibuat kepada Baitulmal daerah dan masih menunggu tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, jurucakap pejabat Baitulmal daerah ketika dihubungi memaklumkan bantuan membaik pulih rumah Abu Ni’man sudah diluluskan.

“Kerja membaik pulih itu dijangka dilaksanakan minggu ini,” katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2018 @ 5:29am
d