mutakhir

Dewan Rakyat: Subsidi haji naik RM400 juta

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman; Meor Riduwan Meor Ahmad; Hidir Reduan; Luqman Arif Abdul Karim dan Nor Ain Mohamed Radhi

KADAR subsidi yang perlu ditanggung Tabung Haji (TH) bagi musim haji tahun ini meningkat daripada RM300 juta kepada RM400 juta susulan pelaksanaan Cukai Nilai Tambah (VAT) lima peratus oleh kerajaan Arab Saudi.

Bagaimanapun, kos mengerjakan haji bagi jemaah yang pertama kali mengerjakan haji mengikut muassasah kekal RM9,980 susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya TH tidak menaikkan kos mengerjakan haji tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Perdana Menteri amat prihatin dengan peningkatan kos haji susulan pengenalan VAT ini dan tidak mahu jemaah terbeban dengan pertambahan kos haji tahun ini.

Namun katanya, pelaksanaan VAT mulai tahun ini pada asasnya tidak akan memberi impak secara langsung kepada jemaah haji Malaysia.

"Kos mengerjakan haji bagi musim tahun 2018 atau tahun 1439 Hijrah mengikut muassasah secara keseluruhannya meningkat kepada RM22,450 berbanding kos haji tahun lalu iaitu RM19,550.

"Kesan percukaian VAT ini sudah diambil kira dalam kos haji. Pengiraan VAT itu membabitkan RM733 bagi setiap jemaah haji merangkumi kos penginapan, makanan dan perkhidmatan di Arab Saudi menjadikan jumlah subsidi ditanggung TH meningkat daripada RM300 kepada RM400 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) apakah langkah strategik dilaksanakan kerajaan bagi menanggung kos haji tahun ini susulan pelaksanaan VAT oleh Arab Saudi, pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Asyraf Wajdi turut berkata, tempoh menunggu giliran mengerjakan haji kini meningkat kepada 106 tahun susulan peningkatan jumlah pendaftaran hari setiap tahun.

"Pendaftaran haji sehingga sehingga 28 Februari lalu mencecah 2.9 juta orang. Pada Februari saja, pendaftaran haji baharu ialah sebanyak 39,042 orang dan pendaftaran semasa bagi tahun ini sehingga Februari lalu mencecah 78,991 orang.

"Ini menjadikan tempoh menunggu giliran untuk mengerjakan haji mencecah 106 tahun," katanya menjawab soalan tambahan Raime.

Beliau juga berkata, sistem pintar haji yang bakal dilaksanakan pada tahun ini dijangka akan dapat mengurangkan proses imigresen jemaah Malaysia memasuki Arab Saudi daripada dua jam kepada 10 minit.

"Pada tahun 2017, TH sudah terbabit projek perintis dalam sistem haji pintar ini yang mana ia mempercepatkan proses prapelepasan imigresen di dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2018 @ 12:24pm
d