mutakhir

Tak pasal kena 79 sebatan [METROTV]

Oleh Mohd Hilmie Hussin

BEKAS koperal tentera dihukum penjara 30 bulan dan 79 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap 79 tuduhan menyalahguna harta Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Sungai Udang bernilai lebih RM50,000, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Musa Md Dawi, 28, mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan dalam prosiding diadakan Selasa lalu.

Beliau memutuskan tertuduh dihukum penjara 30 bulan dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan berkenaan, serta memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama hingga 79, tertuduh didakwa menyalahguna harta bukan miliknya, iaitu elaun perjalanan dan cuti tahun PULPAK membabitkan nilai RM50,238.10, sekitar 25 April 2016 hingga 1 Julai 2016.

Penipuan itu menerusi 43 baucar bayaran atas 79 penama yang kononnya anggota tentera bertugas di PULPAK Sungai Udang dan kesalahan didakwa dilakukannya di Pejabat Belanjawan PULPAK, Kem Sungai Udang, di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, sebatan dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwanshah Abdul Samat memohon hukuman setimpal dikenakan kerana tertuduh seorang penjawat awam yang sepatutnya amanah menjaga kebajikan tentera.

“Tertuduh juga ingkar arahan mahkamah apabila tidak hadir perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan mengambil kira dia perlu menanggung isteri, ibu bapa dan tidak lagi berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang bertugas sebagai kerani gaji di Bahagian Sel Belanjawan PULPAK bertanggungjawab menguruskan permohonan tuntutan tugas rasmi dan cuti tahun anggota tentera di situ, selain mengendalikan baucar bayaran dalam Sistem Perancangan Kawalan Belanjawan Elektronik (eSPKB) Kerajaan Malaysia.

Pada April hingga Julai 2016, tertuduh didakwa dengan curang menyalahguna harta bukan miliknya iaitu elaun perjalanan dan cuti tahun PULPAK dengan mewujudkan baucar atas 79 penama.

Tertuduh juga memasukkan RM46,281.10 ke dalam dua akaun bank miliknya, manakala baki RM3,957 ke akaun dua individu lain, namun tertuduh mempunyai kawalan ke atas akaun itu.

Hasil semakan Jabatan Rekod dan Pencen, Markas Tentera Malaysia ke atas 79 penama dalam 43 baucar bayaran yang dibuat tertuduh, mendapati 58 penama tidak wujud, tiga sudah pencen dan 18 penama yang wujud menafikan pernah membuat tuntutan elaun berkenaan.

Disiarkan pada: March 29, 2018 @ 1:03pm
d