mutakhir

Dalang tipu pelaburan dicekup

Oleh Nor Azizah Mokhtar

SELEPAS hampir dua bulan menjadi buruan polis, suami isteri yang disyaki dalang penipuan pelaburan pertukaran mata wang asing (forex) ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Isnin lalu.

Kedua-duanya berusia 56 dan 55 tahun ditahan dengan bantuan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sejurus pesawat dinaiki mereka dari Indonesia mendarat di klia2 pada 1.30 pagi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, dalang utama yang mempunyai gelaran Datuk dari sebuah negara jiran dan isterinya dipercayai meninggalkan negara ini pada 11 Februari lalu selepas kegiatan mereka terbongkar.

“Siasatan kes ini dianggap selesai dengan penahanan kedua-dua suspek selepas kita menahan tiga rakan subahat mereka sebelum ini, termasuk dua individu bergelar Datuk pada 10 Februari lalu.

“Kita turut merampas hartanah milik suami isteri itu bernilai RM10.4 juta terdiri daripada sebuah rumah semi-d, rumah lot, kondominium, lot kedai dan dua buah lot kilang," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, pihaknya turut merampas lapan kereta mewah jenis Mercedes Benz, BMW, Porche Cayenne dan Audi bernilai RM1.6 juta serta 50 jam tangan bernilai RM100,000.

Difahamkan, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM12 juta.

Pada 10 Februari lalu, JSJK menahan rakan subahat suspek terdiri daripada tiga lelaki termasuk dua bergelar Datuk dan menganggarkan seramai 70,000 orang menjadi mangsa penipuan sindiket penipuan terbabit dengan jumlah kerugian mencecah RM1 bilion.

Sindiket yang dipercayai aktif sejak 2013 itu dikesan mempromosikan pelaburan forex melalui laman web dengan menawarkan pulangan lumayan sebanyak 12 peratus setiap bulan.

Mereka mengajak pelabur menerusi seminar di hotel dan menggunakan syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Setakat ini, polis sudah menerima 116 aduan daripada mangsa membabitkan kerugian RM6.1 juta dan sebanyak 95 kertas siasatan turut dibuka.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Disiarkan pada: March 29, 2018 @ 7:34pm
d