mutakhir

Tak serik-serik jual dadah

Oleh HM Digital

Pendang: Pernah tiga kali ditahan polis namun masih tidak serik. Itu tindakan seorang lelaki (gambar) yang masih meneruskan aktiviti menjual dadah di Kampung Sawa Besar, di sini.

Tangkapan kali keempat itu dilakukan di rumah tidak bernombor di kampung berkenaan pada jam 6 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim berkata, ketika ditahan, suspek berusia 31 tahun itu dipercayai menunggu pelanggan di hadapan rumah berkenaan.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang memeriksa suspek dan menemui dadah heroin dan syabu bernilai RM2,150.

Fadzil berkata, hasil ujian awal saringan air kencing mendapati suspek positif dadah methaphetamine.

“Untuk tangkapan semalam (kelmarin), kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori,” katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2018 @ 3:05am
d