mutakhir

Pelampung 'ikat' nyawa

Oleh Rosli Ilham

Dungun: “Empat jam kami bertarung nyawa dengan berpaut pada pelampung dan ketika itu kami hanya ingat mati saja,” kata tekong bot, Abdulah Che Lor, 43.

Dia menceritakan detik cemas selepas botnya tenggelam di kedudukan 18 batu nautika dari Kuala Dungun berhampiran Pulau Tenggol di sini, petang kelmarin.

Ketika itu Abdullah bersama tiga awak-awak, Ahmad Fadli Ibrahim, 36, Mohd Almi Awang, 50, dan seorang lagi dikenali sebagai Kecik, 37, terselamat selepas diberi bantuan oleh nelayan lain yang sempat mendengar panggilan kecemasan dibuatnya.

Abdulah berkata, mereka ke laut menaiki bot pukat jerut pada petang Selasa dan tiba di lokasi selepas empat jam perjalanan.

“Sepanjang malam itu kami tidak memukat sangat kerana tiada ikan sehinggalah pada jam 8 pagi keesokan hari (Rabu), kami menyambung kerja.

“Pagi itu tiga kali pukat diturunkan dan dapatlah hasil sotong dan ikan kerisi dianggarkan bernilai RM4,000 sebelum kami berehat apabila tengah hari dan tertidur kerana keletihan,” katanya.

Dia ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, jam 12 tengah hari semalam bagi memaklumkan kejadian menimpanya itu.

Menurut Abdullah, sejam selepas mereka terjaga daripada tidur didapati air memenuhi ruang enjin dan terdapat kebocoran di bahagian belakang bot.

Katanya, mereka kemudiannya bergilir-gilir menimba keluar air tetapi semakin banyak yang masuk sebelum ia memenuhi bahagian depan.

“Menyedari bot semakin tenggelam, saya sempat menggunakan radio untuk memaklumkan keadaan kecemasan dan meminta bantuan nelayan di sekitar, namun tiada yang menjawab panggilan.

“Sehinggalah jam 2 petang, bot kami karam dan saya bersama awak-awak hanya berpaut pada pelampung,” katanya yang memberitahu terpaksa melawan ombak besar dan minum air laut.

Menurutnya, kebiasaannya bot akan tenggelam dalam beberapa minit selepas mengalami kebocoran atau terbalik tetapi dia bersyukur Allah masih memberi ruang buat mereka berempat melakukan persiapan.

Katanya, mereka masih dapat berpaut pada bot memandangkan ia hanya tenggelam sepenuhnya selepas ketibaan bot nelayan lain untuk membantu.

“Bot itu dari Kuantan. Mereka ada menerima panggilan kecemasan yang saya buat. Kami dibantu dan dihantar ke Kuala Dungun,” katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2018 @ 4:55am
d