mutakhir

Putrajaya Bandar Raya Tanpa Tunai pada 2019

Oleh Zanariah Abd Mutalib

BERMULA tahun depan, pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya akan melaksanakan inisiatif bayaran tanpa tunai di semua premis perniagaan yang berdaftar melalui program Putrajaya Bandar Raya Tanpa Tunai.

Di bawah inisiatif oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) itu, pengguna hanya perlu menggunakan aplikasi telefon bimbit Prime Digital Wallet untuk membuat bayaran.

Pengerusi SKMM, Tan Sri Dr Halim Shafie berkata, pelanggan hanya perlu memasukkan jumlah yang perlu dibayar berdasarkan maklumat peniaga dan bayaran yang dikenakan, seterusnya mengimbas kod QR peniaga bagi tujuan pembayaran.

“Bayaran akan dikreditkan ke akaun peniaga pada keesokan harinya dan saya percaya, pada masa akan datang, proses bayaran ini akan dipercepatkan secara masa sebenar (real time).

“Projek yang kita laksanakan di bawah program ‘Smart Putrajaya’ ini bukan hanya memberi kemudahan kepada pelanggan tetapi juga peniaga kerana mereka tidak perlu memegang wang tunai yang banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan aplikasi Putrajaya Mobile dan Putrajaya Bandar Raya Tanpa Tunai di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Presiden PPj, Datuk Seri Hasim Ismail.

Sementara itu, Hasim berkata, 110 premis perniagaan sudah berdaftar dengan program itu dan pihaknya menyasarkan semua 1,500 premis perniagaan akan melaksanakan inisiatif bayaran tanpa tunai menjelang April tahun depan.

“Premis perniagaan ini wajib memperbaharui lesen perniagaan mereka dengan PPj setiap tahun, maka kita akan syaratkan mereka untuk melaksanakan inisiatif bayaran tanpa tunai ini.

“Ini satu daripada pilihan untuk memudahkan pelanggan, manakala bayaran tunai masih boleh dilakukan. Medan Selera Presint 9 adalah medan selera pertama di sini yang menyediakan kemudahan ini,” katanya.

Beliau berkata, sebagai galakan penggunaannya, PPj dan SKMM memberikan baucer digital bernilai RM20 kepada pengguna yang memuat turun aplikasi berkenaan dan boleh dipakai di premis perniagaan yang berdaftar.

Selain itu, katanya, aplikasi Putrajaya Mobile pula akan membantu pelawat dan komuniti setempat mendapatkan maklumat terkini Putrajaya termasuk lokasi tarikan pelancong, kemudahan awam, tempat letak kereta dan acara yang dianjurkan di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu.

“Aplikasi ini juga disepadukan dengan Google Maps bagi memandu arah ke lokasi yang ingin dilawati, kemudahan tiket dalam talian (online ticketing) selain fungsi ‘butang panik (panic button)’ yang membolehkan pengguna menghantar mesej kecemasan kepada polis dan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2018 @ 11:32pm
d