mutakhir

Koperal didakwa terima rasuah diperintah bela diri [METROTV]

Oleh Farah Marshita Abdul Patah

Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini, semalam memerintahkan anggota polis, Korperal Zulazri Idris membela diri atas atas tuduhan menerima rasuah RM1,500 sebagai dorongan melepaskan tiga pekerja warga Indonesia, tiga tahun lalu.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Zulazri, 38, mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Azura kemudian menetapkan dua hari bermula 5 April ini untuk tertuduh membela diri sama ada dengan mengemukakan keterangan bersumpah daripada kandang saksi, keterangan daripada kandang tertuduh atau berdiam diri.

Zulazri menyatakan dia memilih memberi keterangan secara bersumpah daripada kandang saksi.

Sebelum ini, 11 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula November tahun lalu.

Mengikut pertuduhan pindaan, Zulazri bersama seorang yang masih bebas didakwa sebagai anggota polis berpangkat korperal bertugas di cawangan kereta peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, menerima suapan wang tunai RM1,500 daripada Mohd Shahrunizad Sahar, 32, sebagai dorongan melepaskan tiga pekerja warga Indonesia yang memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tempat letak kenderaan Orang Kurang Upaya (OKU) bersebelahan Maybank Berhad, Seksyen 5, Jalan Wangsa Delima 11, di sini, jam 9.20 pagi, pada 15 Disember 2015.

Disiarkan pada: March 31, 2018 @ 5:39am
d