mutakhir

Terus dibantu

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Ibu bapa bayi lelaki berusia lapan bulan yang mempunyai masalah jantung berlubang terharu dengan keprihatinan pelbagai pihak yang tidak putus menyalurkan bantuan bagi menyelamatkan anak.

Siti Faridah Abdul Halim, 24, dan suaminya, Ahmad Bukhari Abdul Halim, 25, bersyukur serta berterima kasih atas segala bantuan yang diberikan bagi membolehkan anak mereka, Ahmad Fawwaz Ahmad Bukhari dapat menjalani pembedahan pertengahan April depan.

Menurutnya, dia yang berkahwin dengan Ahmad Bukhari dikurniakan cahaya mata kembar Ahmad Fawwaz dan Ahmad Fayyad Julai tahun lalu selepas mendirikan rumah tangga pada 2016.

Bagaimanapun, takdir menguji dia dan suaminya apabila seorang daripada anaknya iaitu Ahmad Fawwaz disahkan menghidap penyakit jantung berlubang sejak dilahirkan.

“Ketika itu, hanya tuhan saja yang tahu perasaan saya dan suami, namun kami tidak putus asa apabila mencari kaedah rawatan yang terbaik untuk Ahmad Fawwaz.

“Syukur Alhamdulillah selepas menjalani rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ), kami dipanggil ke sebuah hospital swasta di Georgetown yang ingin membantu menjalankan pembedahan yang dibiayai sepenuhnya oleh hospital berkenaan melalui tabung khas,” katanya.

Siti Faridah berkata demikian selepas dikunjungi Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan syarikat TG Ocean Sdn Bhd di rumahnya dekat Kampung Pertama di sini, semalam.

Pada lawatan itu, syarikat berkenaan menyumbang RM1,000 untuk digunakan sebagai kos rawatan susulan selepas menjalani pembedahan.

Siti Faridah berkata, kos pembedahan anaknya menelan belanja sekitar RM60,000.

Sementara itu, Wakil JASA Pulau Pinang Lee Thuan Chye, berkata, RM12,700 disumbangkan individu dan syarikat yang prihatin kepada bayi berkenaan bagi membolehkannya menerima rawatan untuk memulihkan kesihatannya.

Disiarkan pada: March 31, 2018 @ 5:54am
d