mutakhir

PPIM mahu isu tamat

Oleh Fazrik Kamarudin

Kuala Lumpur: Mahu letak noktah pada episod kontroversi babitkan bekas Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi dan terus fokus memperjuangkan isu kepenggunaan.

Itu tekad Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan yang tidak mahu isu itu memadamkan semangat juang PPIM untuk masyarakat.

Beliau menyifatkan apa yang berlaku sebagai cabaran dan pengalaman yang berharga, namun tidak sesekali mematahkan semangat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu untuk membantu golongan pengguna yang mengalami masalah atau ditindas.

“PPIM ini sudah menjangkau usia 21 tahun, banyak ranjau dan duri yang sudah dilalui, pelbagai bentuk cabaran dan ujian kita hadapi dalam perjuangan kita dalam membantu pengguna dan masyarakat.

“Isu kontroversi membabitkan Yusuf Azmi adalah antara cabaran untuk kita, namun kita anggap ia sebagai satu pengalaman yang boleh memberi pengajaran, kita akan teruskan apa yang sudah kita buat selama ini dengan apa yang kita ada.

“Masih ramai yang bertanya, mengenai PPIM mengenakan bayaran untuk perkhidmatan, lagi sekali saya jelaskan, PPIM tidak ada caj, yang dikenakan bayaran adalah perkhidmatan konsultan, peguam atau akauntan yang menguruskan kes yang berkenaan,” katanya dalam sidang media sempena majlis silaturahim PPIM bersama media dan rakan strategik di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, pengunduran Yusuf sedikit sebanyak berpunca daripada sifatnya yang terlalu berlebih dalam menghulurkan pertolongan.

“Yusuf, jiwanya terlalu besar, kita kalau nak buat baik kena juga berpada-pada, namun Yusuf agak degil, saya larang pun dia tolong juga.

“Sebab itu, bila pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan kepadanya dia amat terasa, dia rasa seperti dianiaya, tapi apa yang berlaku dan sudah pun berlaku, kita jadikan ia satu pengalaman,” katanya.

Disiarkan pada: March 31, 2018 @ 6:15am
d