mutakhir

Tak sempat belanja duit kutu

Oleh Nazirul Roselan

cnews.nstp.com.my

IBU tunggal tidak sempat membelanjakan duit kutu yang baharu diperolehnya dua hari lalu apabila rumahnya di Felda Sungai Retang, Jerantut, musnah dalam kebakaran malam tadi.

Siti Zahidah Ninggal, 66, yang bekerja sebagai pembantu am di pejabat FELDA Sungai Retang dikatakan baharu memperoleh duit sebanyak RM1,200 hasil bermain kutu bersama rakan sekerja.

Anak sulungnya, Roslan Talib, 44, berkata, ibunya masih trauma selepas rumahnya musnah 100 peratus malam tadi.

"Ibu ada penyakit darah tinggi... saya risau selepas dia pengsan malam tadi lepas tengok rumah terbakar," katanya.

Roslan berkata, semasa kebakaran, emak bersama dua cucunya berbaring di koridor hadapan rumah berikutan seluruh kawasan FELDA itu tiada bekalan elektrik bermula jam 8 malam.

"Ibu baring depan rumah dengan cucu sementara tunggu bekalan elektrik pulih dan pintu ditutup kerana takut dimasuki nyamuk, jadi ibu tidak tah uapa yang berlaku di dalam rumah.

"Kira-kira jam 10 malam, jiran ada nampak percikan cahaya di bahagian dapur rumah tetapi hanya sekejap dan tidak menjangka akan melarat dan memusnahkan keseluruhan rumah," katanya.

Roslan yang tinggal di blok berasingan di FELDA Sungai Retang menerima berita kebakaran rumah emaknya daripada rakan yang datang memaklumkan kejadian berkenaan.

"Apabila sampai, saya dapati api sudah merebak di bahagian dapur rumah emak dan saya terus cari emak dan anak saudara kerana bimbang perkara tidak diingini.

“Walaupun mereka selamat, saya terkilan sebab ibu tak sempat nak selamatkan barangan dan dokumen penting manakala kereta arwah ayah turut hangus dengan kerugian dianggarkan RM150,000,” katanya.

Disiarkan pada: March 31, 2018 @ 5:12pm
d