mutakhir

Budak kanser otak teringin ke Makkah

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

“UMMI, nanti bila abang dah besar nak duduk di Makkah supaya senang nak bawa ummi kerjakan umrah.”

Itu hasrat dan keinginan diungkapkan Syamil Nur Iman Mohd Nazri, 10, yang kini bertarung nyawa apabila disahkan menghidap kanser otak tahap empat sejak Januari lalu.

Ibunya, Zulaikha Draman, 35, berkata, Syamil teringin pergi ke Makkah kerana sering melihat ahli keluarga terdekat ke sana mengerjakan umrah.

"Walaupun keadaannya semakin lemah kerana kerap muntah, impian untuk ke sana sentiasa segar dan kuat dalam ingatannya.

"Saya dan suami memang berhajat untuk membawanya ke Makkah sekiranya dia dapat berjalan kerana sejak proses pembedahan biopsi pada Januari lalu, Syamil masih tidak mampu berjalan sehingga kini," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Banggol, Permaisuri, Setiu, hari ini.

Kisah Syamil menjadi viral di laman sosial selepas bapanya, Mohd Nazri Mansor, 35, yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Putera Jaya, berkongsi luahan rasa pilu apabila anak lelaki tunggal daripada empat beradik itu yang sebelum ini sihat, disahkan menghidap kanser otak.

Syamil dijangka hanya mampu bertahan empat bulan sahaja lagi untuk hidup.

"Jika diikutkan, doktor mencadangkan supaya menjalani rawatan kimoterapi sebagai ikhtiar untuk merawat Syamil, tetapi harapan untuk sembuh amat tipis.

"Kami memilih melakukan rawatan alternatif dengan terapi al-Quran termasuk mengamalkan makanan sunnah, bubur nasi serta ubi kerana memikirkan keadaannya.

"Proses terapi al-Quran tidak menyakitkan kerana kami hanya diminta membaca beberapa surah pada waktu pagi dan malam seperti Al-Hajj dan An-Nahlm, selain memberi minum air yang dibacakan ayat al-Quran.

"Syamil lebih suka menjalani terapi ini di rumah serta lebih tenang sepanjang berdepan ujian berat ditanggungnya," katanya.

Mohd Nazri berkata, terdapat tiga tanda dikesan sebelum anaknya disahkan menghidap penyakit kanser itu.

"Tanda pertama pada November lalu apabila Syamil mengadu tangannya lemah sehingga tidak dapat membuka baju. Tanda kedua dan ketiga pada Disember apabila tidak dapat berjalan stabil serta tulisan menjadi sangat hodoh.

"Syamil seorang yang sangat aktif dan jarang sakit. Sebelum ini dia pernah muncul Naib Johan Hafazan peringkat negeri Terengganu 2017 kategori sekolah rendah," katanya.

Mohd Nazri berkata, anaknya itu mula menghafal surah ketika berusia empat tahun dan berjaya menghafal satu juzuk ketika berumur enam tahun.

"Walaupun dalam keadaan sakit, dia masih mampu menghafal dengan menyambung ayat yang saya bacakan seperti surah Yasin biarpun sebutan tidak lagi jelas kesan daripada kanser, tetapi ingatannya tetap kuat.

"Disebabkan sukar bercakap kami terpaksa minta dia mengeja perkataan dimaksudkan supaya kami faham.

"Syamil sangat menjaga solat walaupun berada di hospital. Pernah sekali dia kejutkan saya jam 3 pagi mahu menunaikan solat Isyak kerana tertidur selepas Maghrib ketika menjalani rawatan," katanya.

Sementara itu, Zulaikha yang juga pensyarah Kejururawatan di Kolej Universiti Bestari (UCB) berkata, anaknya kerap kali bertanya bila boleh pergi ke sekolah.

"Kebetulan tahun ini dia dilantik menjadi pengawas dan tidak sabar memakai baju itu, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana terlantar sakit.

"Jika diikutkan pada akhir tahun lalu dia masih mampu mendapat kejayaan cemerlang dengan mendapat 7A daripada sembilan subjek sebelum diketahui menghidap penyakit itu.

"Namun sepanjang tempoh ini, Syamil sangat kuat semangat berdepan ujian berat ini. Dia nampak tenang, jarang mengadu sakit atau berjaga malam," katanya.

Katanya, mereka sekeluarga tetap menaruh harapan supaya Syamil kembali sembuh.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Putera Jaya, Mohd Sabri Mat Jaya berkata, Syamil adalah pelajar harapan sekolah untuk menjadi johan dalam pertandingan hafazan peringkat negeri tahun ini selepas mendapat naib johan tahun lalu.

Disiarkan pada: March 31, 2018 @ 5:59pm
d