mutakhir

Ambil peluang labu jatuh harga

Oleh HM Digital

Kuala Nerang: Seorang suri rumah bijak mengambil peluang daripada kejatuhan harga labu dengan menjadikannya sebagai kerepek yang kini semakin mendapat sambutan berikutan tiada saingan produk sama daripada usahawan lain.

Siti Darielia Nadirah Ahmad Supri, 34, dari Kampung Perit, Mukim Pering Hitam berkata, idea menjadikan labu sebagai kerepak timbul selepas harganya hanya mencapai RM0.80 sekilogram (kg) pada 2016.

“Suami saya, Mohd Sukardi Idrus, 34, adalah petani dan menanam labu, pada tahun tersebut harganya jatuh kepada RM0.80 dan RM1.20 sekilogram. Sebagai suri rumah saya tergerak hati untuk membantunya, jadi saya cuba untuk menjadikan labu ini sebagai kerepak pada November 2016.

“Pada mulanya ia tidak menjadi, lagipun saya tidak pernah melihat usahawan lain menghasilkan kerepek labu, jadi saya tiada mentor ataupun boleh belajar resipi daripada orang lain melainkan perlu mencuba dan gagal beberapa kali sehinggalah ia dapat dinikmati dengan rasa sedap dan ranggup,” katanya.

Bercerita lanjut, Siti Darielia Nadirah atau lebih senang dengan panggilan Ira berkata, pada awalnya dia hanya mempromosi produknya melalui mulut ke mulut kepada rakan dan orang kampung

Namun dia sedar cara itu agak rumit dan sukar untuk meluaskan pasaran.

“Saya perlu melakukan sesuatu untuk meluaskan pasaran kerana mahu menjadikannya sebagai sumber pendapatan tetap dengan bekerja dari rumah.

“Pada Januari 2017, saya pergi mendaftar di Pusat Internet 1 Malaysia (PI1M) di kampung untuk membina laman sosial bagi memasarkan produk saya, selama beberapa bulan saya mengikuti latihan berkala dan akhirnya produk saya mendapat sambutan ke seluruh negara.

“Selain PI1M, usaha saya turut mendapat perhatian Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang menghulurkan bantuan berupa mesin memotong, dapur menggoreng serta bungkusan menerusi Program My Kampung My Future, Kampungku Masa Depanku (MKMF) pada November tahun lalu,”kata ibu kepada dua orang anak itu.

Ira berkata, menerusi bantuan PI1M dan MARDI , hasil jualannya meningkat dua kali ganda dan memerlukan bekalan 100kg labu setiap minggu berbanding hanya 50kg sebelumnya.

Disiarkan pada: April 1, 2018 @ 7:29am
d