mutakhir

'Datuk' eksplotasi OKU ditahan

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

MENGERAHKAN kanak-kanak cacat untuk mengemis bagi mendapatkan wang dengan cara mudah. Itulah dilakukan lelaki bergelar Datuk yang juga pemilik sebuah rumah perlindungan bagi orang kurang upaya (OKU) di Kajang, Selangor.

Menurut sumber, lelaki terbabit yang diburu polis sejak setahun lalu menyerah diri kepada sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sebuah lokasi di Subang Jaya pada 5 petang tadi.

“Lelaki berusia 40-an itu diburu sejak setahun lalu kerana dia disyaki terbabit dalam aktiviti mengeksploitasi OKU termasuk kanak-kanak sebagai pengemis.

“Dia disyaki berselindung di sebalik nama rumah kebajikan untuk menjalankan aktiviti berkenaan. Sepatutnya dia melindungi golongan kurang bernasib baik, tapi apa yang berlaku sebaliknya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sumber berkata, sejurus ditahan lelaki berkenaan kemudian dibawa ke IPD Subang Jaya, bagi membantu siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Sementara itu, Ketua JSJ Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat yang mengesahkan tangkapan berkata, pihaknya akan melakukan semakan lanjut bagi mengetahui gelaran Datuk digunakan lelaki berkenaan sah atau sebaliknya.

Difahamkan, polis akan membawa lelaki terbabit ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk mendapatkan kebenaran perintah tahanan reman, esok.

Disiarkan pada: April 1, 2018 @ 11:25pm
d