mutakhir

Maut, kereta bertembung bas

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

PEMANDU lelaki maut selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas berhampiran Pekan Mambau, Seremban, malam tadi.

Kejadian pada 10.10 malam itu menyebabkan mangsa, 40, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 Faizal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.14 malam sebelum 15 anggota dan dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, bas berkenaan yang tiada penumpang dipercayai dalam perjalanan ke Seremban, manakala kereta itu pula menghala ke arah Port Dickson.

“Sebaik tiba kita mendapati mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkannya dari dalam kenderaan yang terbalik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Faizal berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pemandu bas yang terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Disiarkan pada: April 2, 2018 @ 1:13am
d