mutakhir

Halang 'hantu' sampah

Oleh Ernalisa Othman

Johor Bahru: Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) bertindak menutup laluan alternatif lori hantu yang melalui kawasan Kampung Laut Skudai, dekat sini, selepas didapati melakukan kerja pembuangan sampah haram di kawasan berkenaan.

Langkah itu dijalankan dengan kerjasama syarikat konsesi SWM Environment Sdn Bhd (SWM) serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) semalam.

Ahli MBIP R Suhetsan Rasamanikam berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu didakwa memberi kesan kepada pencemaran di Sungai Skudai.

“Hari ini kami menjalankan Operasi Khas Tindak Cepat dengan menutup laluan haram supaya tiada mana-mana lori atau kenderaan masuk ke kawasan itu lagi.

“Langkah drastik itu kami ambil supaya alam sekitar tidak tercemar,” katanya pada sidang media selepas operasi pencerobohan tanah rizab dan pelupusan sampah di Skudai, di sini, semalam.

Katanya, pada Khamis lalu pihaknya menerima aduan orang awam mengenai pembakaran sampah terbuka di Kampung Laut Skudai sebelum siasatan mendapati masalah itu berlarutan sejak lebih setahun dan lokasi terletak 50 meter dari Sungai Skudai.

“Kawasan rizab seluas 0.8 hektar. Mereka bukan bakar satu tempat, sebaliknya kami mengesan lebih empat kawasan dibakar,” katanya.

Disiarkan pada: April 2, 2018 @ 10:05am
d