mutakhir

Sama-sama cemerlang

Oleh Aslina Abu Bakar

Kuala Nerus: Kesibukan sebagai pendidik selain urusan rumah tangga bukan halangan buat suami isteri ini untuk menamatkan kursus Tahsin al-Quran dan Perguruan Guru-Guru Tasmi’ Imtiaz Terengganu bersama-sama.

Malah, lebih manis apabila si suami dinobatkan pelajar terbaik selepas dua tahun mengikuti kursus itu di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Yayasan Terengganu (YT).

Wan Muhd Daud Wan Sulong, 30, yang bertugas di Sekolah Menengah Imtiaz YT Kuala Nerus menerima pengiktirafan itu hasil ketekunannya manakala isterinya, Nor Hamizah Putih, 32, yang bertugas di institusi sama, lulus dengan cemerlang.

Menurutnya, sepanjang mengikuti program itu, banyak manfaat diperoleh mereka bukan saja membabitkan ilmu al-Quran, malah teknik pembelajaran yang betul.

“Selain bertugas sebagai guru tasmi’ saya juga imam di Masjid al-Ikhlas Kampung Banggol Tuan Muda, Manir dan pada sebelah malam, saya berkhidmat sebagai Guru Mualim Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu di beberapa masjid antaranya Masjid Kubang Durian, Masjid Banggol Pauh, Surau Hajah Mariam dan Masjid al-Ikhlas.

“Jadi sebagai pendidik, saya perlu mendalami lebih banyak ilmu al-Quran selain mempelajari teknik mengajar yang betul untuk diterjemahkan kepada pelajar dan masyarakat,” katanya ditemui selepas Majlis Graduasi Peserta Program Tahsin al-Quran dan Perguruan Guru-Guru Tasmi’ Imtiaz Terengganu yang disempurnakan Pengarah YT Hishamuddin Hashim di Dewan al-Muktafi Billah Shah, UniSZA Kampus Gong Badak, di sini, semalam.

Seramai 145 guru tasmi’ di seluruh negeri menamatkan pengajian dan memperoleh sijil pengiktirafan.

Wan Muhd Daud berkata, dia dan isteri menganggap pembelajaran al-Quran sepanjang hayat adalah satu elemen amat penting untuk menjadi Muslim yang berjaya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniSZA Prof Dr Mahadzirah Mohamad berkata, kursus itu pertama kali dianjurkan hasil cetusan idea UniSZA dan YT sejak 2016.

“Alhamdulillah, hari ini kita berjaya menamatkan pengajian pertama membabitkan 145 pelajar dengan perbelanjaan keseluruhan RM61,462 yang dikeluarkan YT,” katanya.

Disiarkan pada: April 2, 2018 @ 10:24am
d