mutakhir

Nanti sesal tak sudah

Oleh Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: “Di sana (Thailand) mereka memang sudah nampak dengan jelas bahawa ketum akan merosakkan rakyat. Sebab itu undang-undang di sana sangat tegas hingga memperuntukkan hukuman mati dan dipenjara seumur hidup jika sabit kesalahan,” kata Pakar Kriminologi, Datuk Akhbar Sattar.

Beliau melahirkan rasa bimbang kemungkinan penduduk kawasan kampung di negeri utara Semenanjung Malaysia, khususnya bersempadan dengan Thailand tidak mengetahui atau peka mengenai undang-undang ketat berkaitan ketum di negara jiran.

Sikap tidak peduli mengenai undang-undang negara jiran itu katanya, menyebabkan ada yang berani terbabit secara aktif dalam aktiviti penyeludupan ketum ke Thailand.

“Jangan main-main nanti menyesal. Di sini khususnya negeri di utara memang ketum hanya dianggap biasa tetapi di Thailand diletakkan di bawah dadah berbahaya.

“Orang kampung yang jadi penyeludup ketum kecil-kecilan ini lupakan saja nak urus niaga ketum di Thailand. Risiko hukuman mati, penjara seumur hidup dan denda menanti sekiranya sabit kesalahan,” katanya.

Beliau mengulas laporan muka depan Metro Ahad, semalam bertajuk Transporter Kratom yang memetik permintaan tinggi daun ketum hingga mencecah RM150 satu kilogram (kg) di negara jiran membuatkan penyeludup Malaysia sanggup menanggung risiko kerana mahu cepat kaya.

Jadi tidak hairan, penyeludup sanggup ke hutan atau kampung di pedalaman bagi mendapatkan bekalan pada harga hanya RM20 sekilogram sebelum menyeludup ketum ke sempadan menggunakan pelbagai cara termasuk melalui pintu sempadan yang sah, khidmat tentera semut atau menyelusup menerusi lorong tikus.

Skuad Khas Harian Metro difahamkan, sindiket mampu memperoleh laba mencecah lebih RM100,000 sebulan hasil kegiatan penyeludupan ketum yang dikatakan lebih menguntungkan berbanding barangan lain.

Mengulas lanjut, Akhbar berkata, risiko lebih tinggi sekiranya penduduk terbabit dalam membantu sindiket besar yang melakukan kegiatan penyeludupan ketum ke negara jiran itu.

“Memiliki daun ketum pun sudah menjadi kesalahan, inikan pula terbabit dengan sindiket penyeludupan bahan terlarang itu di Thailand,” katanya.

Di Thailand pokok ketum dipanggil kakuam, ithang, kratom atau thom. Satu undang-undang yang dinamakan Akta Kratom 2486 digubal pada 1943.

Akta ini mengharamkan sebarang aktiviti penanaman pokok ketum dan mana-mana pokok ketum yang masih ada hendaklah ditebang atau dimusnahkan.

Pada masa ini, undang-undang Thailand mengkelaskan daun ketum di bawah kelas sama dengan kokain dan heroin yang mengakibatkan sabit kesalahan mengikut Akta Narkotik Thailand iaitu penyalahgunaan daun ketum boleh dikenakan hukuman yang sama seperti pengguna kokain dan heroin.

Mengikut Akta Mengenai Langkah-Langkah Menyekat Pesalah Berhubung Dadah 1991 dan Akta Narkotik 1979, memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Disiarkan pada: April 2, 2018 @ 10:34am
d