mutakhir

Muktamadkan skim penstrukturan bekalan air dulu

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

KEMENTERIAN Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) menafikan dakwaan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kononnya Kerajaan Persekutuan enggan menyerahkan Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2) kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

KeTTHA dalam satu kenyataan berkata, Kabinet pada 28 Februari lalu memutuskan penyerahan separa LRAL2 oleh Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) kepada Air Selangor hanya akan dibuat selepas kerajaan negeri memuktamadkan skim penstrukturan bekalan air di negeri itu.

“Kerajaan Persekutuan melihat penstrukturan bekalan air adalah jalan terbaik bagi membolehkan PAAB membangunkan aset air bagi menangani isu rizab margin air terawat yang rendah di Selangor iaitu antara kosong hingga tiga peratus.

“Adil bagi PAAB sebagai pemilik LRAL2 mengutip balik pelaburan berjumlah RM3.7 bilion bagi pembinaan loji ini melalui sewa pajakan yang akan dibayar oleh Air Selangor,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kerajaan Selangor juga perlu komited untuk membayar balik pinjaman PAAB berjumlah RM1.6 bilion bagi pengambilalihan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd, Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium ABASS Sdn Bhd dan RM6 bilion Water Bond Selangor.

Justeru, kerajaan negeri perlu segera memuktamadkan penstrukturan semula bekalan air supaya rakyat Selangor dapat menikmati air bersih berjumlah 565 juta liter sehari (JLH) yang dibekalkan oleh LRAL2, sekali gus meningkatkan rizab margin air terawat di Selangor.

“Bekalan air di Selangor dapat diuruskan dengan lebih cekap melalui kawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta membolehkan Air Selangor, sebagai pemegang Lesen Perkhidmatan menumpukan perhatian kepada kecekapan operasi, kewangan dan peningkatan kualiti perkhidmatan kepada pengguna,” katanya.

Azmin pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, 28 Mac lalu mendakwa Kerajaan Persekutuan menghalang Selangor membekal air terawat kepada pengguna.

Katanya, Kerajaan Persekutuan membuat keputusan pada 20 Mac lalu untuk tidak membenarkan air terawat LRAL2 dibekalkan oleh Air Selangor kepada pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Disiarkan pada: April 2, 2018 @ 10:36am
d