mutakhir

Kembara solo rentas dunia

Oleh Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Dia tidak pernah serik melakukan pengembaraan solo dengan menunggang motosikal ke serata pelosok dunia meskipun kerap berdepan pelbagai saat getir seorang diri di negara orang.

Wanita terbabit, Anita Yusof, 50, berkata, setiap rintangan ditempuh adalah pengalaman berharga buat dirinya yang obses menjelajah dan pada masa sama menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan.

Paling membanggakan apabila ibu dua anak itu melakar sejarah sebagai wanita Islam Malaysia pertama mengelilingi dunia dengan merentasi empat benua bermula dari Seattle, Amerika Syarikat (AS) melalui negara di Amerika Utara, Eropah dan Asia menerusi kembara solo Global Dream Ride (GDR).

Dalam perjalanan selama 370 hari bermula pada 13 September 2015 hingga 16 September 2016, Anita yang menunggang Yamaha FZ150i singgah ke 40 negara dengan jarak perjalanan sejauh 65,369 kilometer (km).

Antara cabaran ditempuh Anita adalah melalui kawasan yang tidak mempunyai liputan telekomunikasi dan persekitaran dingin, hujan lebat serta angin kencang.

Meskipun berjaya melengkapkan misinya, Anita tidak cepat berpuas hati, sebaliknya terus aktif dalam melakukan pengembaraan solo ke destinasi lain pula di seluruh dunia.

Menceritakan minatnya, pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, Perak itu berkata, semuanya bermula pada 2002 selepas dia melihat keindahan alam semula jadi dikongsi di sebuah blog.

“Sebelum ini saya memang kerap mengembara tetapi secara backpackers. Pergerakan saya banyak menggunakan pengangkutan awam seperti kereta api, bas, teksi dan kapal terbang.

“Tertarik dengan gambar di blog berkenaan, saya menghubungi penulisnya untuk dapatkan maklumat bagaimana untuk ke sana. Saya dimaklumkan lokasi itu terletak di Kyrgyzstan, sebuah negara mundur tetapi pemandangan alam semula jadinya sangat cantik.

“Namun untuk ke lokasi terbabit sangat sukar berikutan tiada kemudahan pengangkutan awam. Timbul idea untuk menunggang motosikal ke sana memandangkan kos menyewa kenderaan pacuan empat roda di negara terbabit mahal,” katanya.

Pada 2014, dia melakukan kembara solo Stans Asia Tengah melalui lima negara di Asia Tengah iaitu Uzbekistan, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Pakistan.

Kembara solo Anita itu turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records yang menganugerahkan gelaran Wanita Pertama Menunggang Motosikal Secara Solo Merentasi Lima Negara Asia Tengah kepadanya.

“Kejayaan itu mendorong saya untuk melakukan lebih banyak kembara solo termasuk GDR dan Alhamdulillah, saya menamatkan semua misi itu dan pulang ke Malaysia dengan selamat,” katanya.

Bagi merealisasikan kembara solo GDR, dia sanggup mengambil cuti tanpa gaji selama setahun dan menampung sendiri kos berjumlah RM12,000 tanpa menerima tajaan daripada mana-mana pihak.

Katanya, sepanjang perjalanan, dia berjimat-cermat untuk mengurangkan kos dengan tidur di dalam khemah dan memasak sendiri makanan di setiap perhentian.

“Perbezaan bahasa juga menyukarkan saya untuk berkomunikasi kerana penduduk tempatan di negara tertentu langsung tidak tahu bahasa Inggeris.

“Perjalanan paling mencabar adalah ketika menunggang ke Wellington, New Zealand kerana saya bukan saja perlu menempuh jalan berbukit, malah angin lintang yang menambah lagi cabaran.

“Motosikal saya terbabas ke laluan bertentangan kerana ditolak angin. Mujur saya tidak panik dan berjaya mengawal keadaan.

“Saya turut diuji dengan tiupan angin kencang di Uzbekistan dan ribut pasir di Afghanistan manakala kabus tebal di kawasan pergunungan Yunnan, China menyebabkan saya berhenti di tepi jalan berikutan tidak nampak jalan,” katanya.

Disiarkan pada: April 2, 2018 @ 10:39am
d