mutakhir

60kg udang ulu lima hari berturut-turut

Oleh Sandra Albertz

Simunjan: “Ada ketikanya pukat yang saya pasang penuh dengan udang galah seberat 60 kilogram untuk lima hari berturut-turut.

“Hasil tangkapan yang baik ini disebabkan Sungai Batang Kanan yang belum terjejas dengan sebarang bentuk pencemaran, termasuk daripada aktiviti perladangan,” akui Wilman Tawil, 43.

Wilman dari Kampung Melanjok, menjadikan aktiviti menangkap udang galah atau disebut udang ulu dalam kalangan penduduk setempat sebagai sumber pendapatan utama.

Aktivitinya itu dijalankan di Sungai Batang Kanan di Batang Sadong yang dikenal pasti antara lubuk udang galah di daerah ini, sekali gus mewujudkan sumber pendapatan untuk penduduk setempat.

Malah, purata 60 hingga 80 kilogram dapat didaratkan sehari, sekali gus dijual kepada peraih pada harga tinggi.

“Hasil tangkapan kemudiannya dijual di Pasar Simunjan pada harga antara RM10 hingga RM32 sekilogram.

“Sekejap saja letak, pasti habis terjual,” katanya yang menjual udang galah di Pasar Simunjan, selain mengambil tempahan secara dalam talian melalui Facebook.

Disiarkan pada: April 2, 2018 @ 10:46am
d