mutakhir

Gempur 41 kali

Oleh Mohd Roji Kawi

POLIS terus menggempur aktiviti perjudian di Sarawak apabila melakukan 41 serbuan sepanjang minggu lalu bermula 26 Mac hingga semalam yang membawa kepada 52 tangkapan.

Daripada jumlah serbuan itu, perjudian nombor ekor terus mencatat jumlah serbuan tertinggi membabitkan 34 serbuan, manakala enam serbuan membabitkan perjudian siber dan satu serbuan membabitkan perjudian di tempat awam.

Serbuan itu dilaksanakan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak serta 15 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, JSJ IPK mencatat serbuan tertinggi dengan sepuluh di tiga daerah iaitu Kuching, Padawan dan Kanowit.

Beliau berkata, IPD Kuching dan Miri pula masing-masing dengan enam serbuan, Sibu (4), Padawan (3), Kota Samarahan dan Bintulu masing-masing dua, manakala Bau, Serian, Limbang, Betong, Marudi, Lubok Antu, Kanowit dan Meradong pula masing-masing dengan satu serbuan.

“Usaha membanteras perjudian dalam talian diteruskan dengan enam serbuan yang dijalankan di kedai serbaneka 24 jam dan kedai kopi yang menawarkan perkhidmatan tambah nilai kepada kaki judi dalam talian.

“Serbuan itu dilakukan di Kuching, Miri, Kota Samarahan dan Meradong yang membawa kepada penangkapan enam penyedia perkhidmatan dan menyita lapan telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM2,706,” katanya.

Dev berkata, dalam aktiviti perjudian di tempat awam pula, satu serbuan dilakukan di sebuah kafe di Jalan Poh Yew, Sibu dengan empat individu ditahan.

“Daripada 52 yang ditangkap, 31 adalah lelaki manakala yang lain adalah wanita dan mereka berusia antara 17 dan 57 tahun.

“Seorang yang ditahan adalah warga negara asing kes sedang disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka,” katanya.

Disiarkan pada: April 2, 2018 @ 10:55am
d