mutakhir

Saya yang menurut perintah - Tuan Ibrahim

Oleh Sharifah Mahsinah Abdullah

KEPUTUSAN untuk bertanding di mana-mana negeri pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan akan akan menerima apa sahaja keputusan yang di buat oleh pucuk pimpinan.

"Parti belum membuat keputusan lagi tentang calon jadi eloklah kita semua tunggu dulu.

"Namun sebagai ahli parti, di mana parti arah kita akan patuh. Keluarga saya berasal dari Kelantan di mana ayah saya sendiri berasal dari Pauh Lima di Bachok dan emak saya dari Pulau Melaka di Kota Bharu.

"Jadi Kelantan bukan asing bagi saya sebab saya punyai ramai keluarga di negeri itu," katanya kepada NSTP.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin yang mengatakan beliau akan bertanding di Parlimen Kubang Kerian di sini pada PRU-14.

Ditanya sama ada keputusan memilihnya bertanding di Kelantan akan membuat ahli atau pemimpin tertentu tidak puas hati, beliau berkata, isu itu tidak berbangkit sebab PAS Kelantan sudah mempunyai pengalaman mengambil orang luar untuk bertanding di negeri itu sebelum ini.

"Ahli parti bekerja bagi pihak parti, bukan individu. Jadi tidak timbul soal kecewa kerana Kelantan dah biasa dengan calon luar.

"Masyarakat dan ahli PAS Kelantan dah biasa kerana mereka pentingkan parti bukan individu. Contoh sebelum ni Dr Mohd Hatta Md. Ramli bertanding di Kuala Krai dan Mohamad Sabu (Nilam Puri)," katanya.

Tuan Ibrahim berkata beliau yakin PAS Kelantan akan mampu mempertahankan negeri itu dengan kekuatan jentera, penyokong dan pengundi yang lebih baik dari negeri lain.

"Saya yakin peluang untuk PAS Kelantan menang amatlah banyak. Apa yg penting semua pihak kena bekerja keras dan bagi komitmen sepenuhnya pada parti," katanya.

Disiarkan pada: April 2, 2018 @ 2:28pm
d