mutakhir

Maut langgar burung hantu

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

KERISAUAN wanita selepas adiknya tidak membalas mesej menerusi aplikasi WhatsApp terjawab selepas mangsa maut dalam kemalangan di Kilometer 33 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di Marang pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 pagi, Wan Iliya Irfa Wan Izani, 19, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada anggota badan.

Selain itu, rakannya yang juga penunggang motosikal jenis Honda Beat, Mohamad Zamri Mohd Zin, 23, patah tangan dan cedera di kepala.

Menurut Wan Izzati Irza Wan Izani, 24, yang menunggang motosikal berasingan, adiknya membonceng motosikal rakannya untuk balik ke rumah sewa mereka di Marang sebelum mangsa berhenti makan di Sungai Merchang.

"Saya meneruskan perjalanan ke rumah sewa kami dan ada bertanya tentang lokasi mereka sebelum dia bagi tahu berhenti makan.

"Saya sekali lagi menghantar WhatsApp kepadanya selepas dia tidak sampai di rumah memandangkan waktu ketika itu sudah jam 3 pagi namun tiada balasan sehinggalah saya dimaklumkan mengenai kemalangan menimpa mereka," katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ, di Marang, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang Mohamad Zamri dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, penunggang dikatakan melanggar seekor burung hantu menyebabkan mereka jatuh di atas jalan.

"Kejadian itu menyebabkan pembonceng meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang pula dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan," katanya.

Disiarkan pada: April 2, 2018 @ 4:02pm
d