mutakhir

Angkara terlelap pandu kereta [METROTV]

Oleh Shamsul Munir Safini

ANGKARA terlelap ketika memandu, lelaki nyaris maut selepas merempuh belakang lori sarat muatan telur ayam di Kilometer 115.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Kepala Batas, 9 pagi hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa Heng Tek Cheng, 26, tidak mengalami kecederaan manakala kereta dipandunya remuk teruk di bahagian hadapan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kereta dipandu mangsa dari arah Butterworth menghala ke Sungai Petani Kedah dan dipandu di lorong kiri lebuh raya.

Menurutnya, sebaik tiba di KM115.3 mangsa terlelap sebelum merempuh bahagian belakang lori yang membawa muatan telur yang berada di hadapannya.

Katanya, kesan daripada rempuhan itu, kereta mangsa dan lori berkenaan terbabas ke pembahagi jalan di lorong kanan lebuh raya.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pemandu lori berusia 55 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Ekoran kejadian, berlaku kesesakan akibat kedua-dua lorong terhalang," katanya.

Noorziny berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kemalangan.

Video aksi kemalangan itu sempat dirakam seorang pengguna lebuh raya sehingga ia tular di media sosial hari ini.

Disiarkan pada: April 2, 2018 @ 4:26pm
d