mutakhir

Nenek mohon semak panggil cucu beri keterangan

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

NENEK kepada dua anak yatim piatu iaitu anak mangsa kemalangan maut Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE), tiga tahun lalu memfailkan notis permohonan semakan di Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur.

Notis berkenaan berhubung arahan terakhir Mahkamah Tinggi Syariah pada 15 Mac lalu untuk memanggil kanak-kanak itu memberi keterangan sama ada ingin tinggal dengannya atau ibu saudara mereka.

Pada prosiding di hadapan Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad, peguam syarie Yusfa Hanis Yusoff yang mewakili Wirda Syamsuddin, 55, memaklumkan pihaknya telah memfailkan permohonan semakan itu pada 22 Mac lalu.

Sehubungan itu, pihaknya memohon kes induk berhubung hak penjagaan kekal (hadanah) dua beradik, Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 10, dan Nur Firuza Aqila, 7, ditangguhkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan Syariah.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 Mei ini untuk sebutan semula kes berkenaan selepas membenarkan permohonan Yusfa Hanis.

Sementara itu, ketika ditemui media di luar mahkamah, Yusfa Hanis memberitahu antara alasan pihaknya memfailkan permohonan semakan itu adalah berikutan dua kanak-kanak terbabit kini dalam jagaan sementara ibu saudara mereka, Yusnidah Husain, 50, dan bimbang akan berlaku ketidakadilan sekiranya mereka dipanggil memberi keterangan.

Prosiding hari ini sepatutnya ditetapkan untuk dua beradik itu memberi keterangan sebelum Hakim Syarie Muhamad Abd Karim Wahab memberikan keputusan terhadap tuntutan hadanah yang dikemukakan Yusnidah.

Pada 11 Ogos 2015, Yusnidah yang diwakili peguam syarie Mahyuddin Md Zahari diberikan hak penjagaan sementara kedua-dua anak yatim itu.

Yusnidah memfailkan permohonan hadanah pada 2 Jun 2015 mengikut Seksyen 81 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Dalam kejadian 2 Mei 2015, di Kilometer 6.2 arah Hulu Klang ke Jalan Duta, Fairuz Nizam dan Nova Safitri serta anak mereka, Nur Firuza Annisa yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Putrajaya, maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan.

Disiarkan pada: April 2, 2018 @ 5:44pm
d