mutakhir

'Semua pun dia tipu' [METROTV]

Oleh Muhammad Apendy Issahak

LELAKI yang aktif menjalankan kegiatan penipuan menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Perdana Menteri sejak tahun lalu diberkas polis bersama tiga individu lain dalam serbuan di banglo mewah di Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh, 11.45 pagi Jumaat lalu.

Polis turut merampas dua pistol dalam serbuan berkenaan dan suspek berusia 31 tahun yang menyamar sebagai Datuk Seri itu ditahan susulan polis menerima laporan dibuat seorang pengawal keselamatan yang mendakwa diugut dan dicederakan dengan pistol oleh suspek dalam kejadian di sebuah kondominium di Tambun, Ipoh, 11 Mac lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata, lelaki berkenaan dipercayai terbabit sekurang-kurangnya 11 kes penipuan di Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan membabitkan kerugian dianggarkan RM1.6 juta.

Beliau berkata, modus operandi dijalankan adalah dengan menyamar sebagai Datuk Seri kononnya wakil Perdana Menteri dan bekerja dengan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri yang menawarkan pelbagai projek serta gelaran Datuk dan Datuk Seri.

“Pada 11 Mac lalu, polis menerima laporan daripada seorang pengawal keselamatan di Montblue Residence, Tambun yang mendakwa diugut dan dihentak dengan pistol hingga cedera di dahi kiri oleh suspek yang mengaku sebagai orang kuat Perdana Menteri.

“Lelaki berkenaan dikatakan berang selepas pengawal terbabit enggan membenarkannya masuk ke kawasan kondominium terbabit kerana tidak mempunyai pas masuk,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, hari ini.

Hasnan berkata, susulan laporan itu, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) dan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menjalankan siasatan dan mengesan suspek.

Beliau berkata, polis mengesan suspek di sebuah banglo mewah sebelum membuat serbuan pada jam 11.45 pagi Jumaat lalu.

“Hasil serbuan, empat individu berusia 24 hingga 65 tahun diberkas membabitkan suspek utama berusia 31 tahun bersama isterinya dan dua lagi suspek.

“Hasil pemeriksaan di kediaman terbabit, polis merampas dua pistol jenis semi auto dan revolver bersama kelopak peluru dan peluru hidup selain pelbagai dokumen dan barangan dipercayai digunakan untuk kegiatan menipu,” katanya.

Hasnan berkata, antara barangan dirampas itu adalah 49 cop palsu membabitkan cop Yang di-Pertuan Agong, cop Kerajaan Malaysia, cop kerajaan negeri dan cop pelbagai agensi kerajaan.

Beliau berkata, turut dirampas pelbagai dokumen serta sijil anugerah darjah kebesaran palsu, baju istiadat berserta songkok dan selempang serta sebuah kereta Audi Q7 dan empat peket ganja.

“Semakan mendapati suspek utama mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah dan penipuan serta ujian saringan awal air kencing tiga daripada suspek positif dadah.

“Mereka direman hingga 8 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan, Seksyen 506 KK (ugutan), Seksyen 420 KK (menipu), Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (memiliki pistol), Seksyen 36 Akta Senjata 1960 (memiliki peluru) dan Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Hasnan berkata, pihaknya percaya suspek mungkin terbabit banyak lagi kes penipuan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau ditipu oleh suspek untuk tampil membuat laporan untuk membantu siasatan.

Disiarkan pada: April 2, 2018 @ 5:56pm
d