mutakhir

'Orang tengah, punca sebenar harga barang naik'

Oleh Shaarani Ismail

KENAIKAN harga barang di pasaran bukan disebabkan oleh Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), sebaliknya tindakan orang tengah atau kartel yang memanipulasi harga bagi mengaut keuntungan berlebihan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kartel atau orang tengah memburukkan keadaan apabila menuduh kerajaan menaikkan harga barangan, sedangkan ia dinaikkan oleh mereka kerana mahu margin keuntungan yang tinggi.

“Mereka juga salahkan kerajaan kerana GST penyebab utama yang menaikkan harga (barang), kartel inilah dulu adalah syarikat atau individu yang lari daripada membayar cukai SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan), itu sebab kerajaan ambil langkah kutip cukai jualan melalui GST.

“Oleh kerana mereka marah dengan (pelaksanaan) GST, jadi mereka buat tohmahan dan fitnah kepada kerajaan, langkah kerajaan melalui majlis (Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara) adalah satu langkah tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan ProMart Bagan Datuk dan program kos sara hidup di Bagan Datuk, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Prolink Retails Sdn Bhd Datuk Dr Suhaimi Ibrahim.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara berkata, memang benar ada kenaikan kos pengeluaran, pengimportan dan pertukaran wang kerana ketika itu nilai Ringgit Malaysia (RM) agak rendah berbanding Dollar Amerika, namun nilai RM ketika ini sudah meningkat tetapi harga barangan masih tidak turun.

“Ertinya kartel memainkan peranan orang tengah dan ambil margin (keuntungan) banyak, saya tak mahu musuh dengan mereka, tapi saya mewakili rakyat, minta kartel dan orang tengah jangan salahkan kerajaan dan jangan jadikan rakyat mangsa dan meracuni fikiran rakyat untuk membenci kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan memahami bahawa semua yang berniaga mahukan keuntungan, tetapi biarlah keuntungan itu munasabah dan rakyat tidak menjadi mangsa keadaan selain menjual kepada rakyat dengan harga berpatutan.

Katanya, oleh sebab itu kerajaan mengambil langkah memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang antara hasilnya datang melalui kutipan GST supaya rakyat yang layak dapat menambah kuasa beli dan bebanan dapat diturunkan.

Sementara itu, Suhaimi dalam ucapannya berkata, rangkaian Kedai Serbaneka ProMart melalui program kos sara hidup rakyat akan diperluaskan daripada 2,500 ketika ini kepada 10,000 premis menjelang akhir tahun tahun ini.

Katanya, melalui program itu, peruncit tempatan diberi peluang mendapatkan barangan terpilih pada harga kompetitif termasuk barangan bekalan asas seperti gula, minyak, tepung dan beras dengan syarikat menyediakan terma kredit bagi tujuan pembayaran balik.

Disiarkan pada: April 2, 2018 @ 6:14pm
d