mutakhir

'Alhamdulillah, hari-hari ada rezeki...'

Oleh Noor Azurin Mohd Sharif

BIARPUN kudung kaki kanan, namun ia tidak mematahkan semangat seorang lelaki mencari wang simpanan dan mengumpul modal bagi memenuhi impiannya membuka sebuah pusat aksesori kereta, suatu hari nanti.

Azizi Aziz, 28, berkata demi merealisasikan azam yang menggunung itu, dia nekad untuk menjana pendapatan dengan menawarkan khidmat mengilat dan mencuci kereta bergerak dari rumah ke rumah sejak bulan lalu.

“Ini sajalah peluang saya untuk kumpul modal bagi merealisasikan impian bergelar usahawan, sekali gus berjaya membuka sebuah pusat aksesori kereta.

“Sebenarnya sudah lama saya mahu buat perkhidmatan seperti ini, tetapi modal belum cukup untuk membeli peralatan," katanya yang mahu mengambil pekerja orang kurang upaya (OKU) sepertinya jika sudah berjaya kelak.

Pemuda berasal dari Terengganu itu, berkata dengan pengalaman dimiliki dalam bidang kekemasan selama lebih dua tahun di sebuah pusat aksesori kereta di Selangor, secara tidak langsung memudahkannya melakukan kerja terbabit tanpa bantuan banyak 'tangan'.

“Alhamdulillah, kini saya fokus hanya kepada perkhidmatan dari rumah ke rumah, dan sambutan diterima setakat ini amat menggalakkan dan hari-hari tak putus rezeki.

“Biar berpenat sedikit, tetapi tidak mengapa asalkan suka apa yang kita lakukan,” katanya yang turut dibantu adiknya, Ahmad Abdillah, 22.

Azizi yang pernah mengilat kenderaan orang kenamaan termasuk golongan diraja berkata, dia memerlukan tempoh selama kira-kira empat jam setengah untuk menyiapkan sesebuah kereta.

“Ini kerana, saya diajar mengenai kesempurnaan dan mahu kereta pelanggan berada dalam keadaan 'perfect' biarpun pada harga yang murah.

“Oleh kerana tiada peralatan dan kedai, perkhidmatan yang ditawarkan ketika ini hanyalah mengilap, mengilat dan membasuh kenderaan pada harga lebih murah daripada pasaran,” katanya yang menawarkan harga promosi serendah RM80 untuk sebuah kereta dan ia bergantung kepada jenis kenderaan.

Akhbar sebelum ini pernah melaporkan kaki kanan Azizi hancur selepas disedut mesin pengisar ais di sebuah kilang air batu di Chukai, Terengganu pada 2 Februari 2015.

Katanya, akibat kemalangan itu, sebahagian kaki kanannya hancur dan terpaksa dipotong.

“Bagaimanapun, saya reda malah tidak pernah berasa kekurangan ini menjadi penghalang untuk terus mengejar cita-cita.

“Tidak sesekali saya anggap diri OKU. Tidak perlu ada rasa merendah diri, yang penting kita perlu yakin dan percaya ramai yang masih menyayangi insan OKU,” katanya.

Disiarkan pada: April 2, 2018 @ 7:04pm
d