mutakhir

[UPDATE] 'Terima kasih rakyat Malaysia...'

Oleh Mahaizura Abd Malik

“ALHAMDULILLAH, ini semua rezeki anak-anak. Saya akan gunakan sumbangan diterima ini dengan sebaiknya termasuk mengecat rumah dan memasang cermin baru untuk keselesaan dan keselamatan anak yang masih kecil.

“Saya juga niat berkongsi rezeki ini dengan bersedekah kepada mereka yang benar-benar ikhlas dan jujur bersama kami selama ini," kata Suriani Aziera Shahril, 32.

Ibu kepada enam anak berusia empat hingga 18 tahun itu, berkata dia bersyukur rezekinya mencurah-curah sejak kisah mereka lima beranak menaiki motosikal tular di laman sosial, Jumaat lalu, dan disiarkan Harian Metro, semalam.

“Sejak kisah saya tular, ramai orang mula menghubungi saya dan selepas berita kami tersiar di Harian Metro semalam. Alhamdulillah, bantuan diterima semakin banyak.

“Saya juga menerima kunjungan individu dan wakil masjid berhampiran serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk bertanyakan khabar dan merisik keadaan kami," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mereka sekeluarga berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang prihatin sama ada melalui sumbangan ke akaun banknya mahupun bertanyakan khabar menerusi panggilan telefon.

“Saya berterima kasih kepada semua yang prihatin dengan nasib kami, hanya Allah saja mampu membalasnya. Saya juga tidak akan melupakan jasa hamba Allah yang mula-mula bertanya khabar kami di tepi jalan, Jumaat lalu, hingga kisah kami ditularkannya.

“Kepada yang masih kecam mengatakan saya sengaja mereka cerita untuk meraih simpati, terima kasih. Walaupun hati saya sedih, saya tetap maafkan kerana sedar mereka tiada di tempat saya," katanya.

Jumaat lalu, Suriani Aziera bersama empat anak menaiki sebuah motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu selepas mendapatkan keperluan asas di Masjid Saidina Umar al-Khattab, Bukit Damansara.

Ketika dalam perjalanan, lima beranak itu ditahan seorang wanita yang bertanyakan mereka mahu ke mana dan wanita itu sempat merakamkan gambar serta mengambil nombor telefon sebelum menularkannya di laman sosial.

Berita berkaitan

'Saya bukan sengaja tagih simpati...'

Disiarkan pada: April 2, 2018 @ 8:53pm
d