mutakhir

Melecur kereta terbakar [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

PEMANDU Perodua Kembara melecur pada kaki kiri ketika keluar dari kenderaan dipandu untuk menyelamatkan diri sebelum ia meletup dan terbakar di Kilometer 59 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Alor Setar, hari ini.

Dalam kejadian pada 4.15 petang, remaja lelaki, 19, dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Bersatu, Kuala Nerang menuju ke Universiti Teknologi MARA (UITM) Merbok, Sungai Petani.

Mangsa dipercayai memberhentikan kenderaannya selepas menyedarinya berasap sebelum tiba-tiba terbakar lalu bertindak keluar.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja Pegawai Bomba Kanan II Mohd Farid Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.25 petang sebelum sepasukan anggota bersama sebuah jentera dihantar ke lokasi.

Katanya, setibanya di lokasi mendapati api sedang marak membakar kenderaan itu dan anggotanya berusaha memadam api daripada merebak.

“Pemandu kenderaan itu berjaya menyelamatkan diri, tetapi melecur 15 peratus pada kaki kirinya.

“Api berjaya dikawal pada 4.45 petang dan dipadam sepenuhnya tiga minit kemudian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: April 2, 2018 @ 9:36pm
d