mutakhir

Inap desa jana RM9.5j

Oleh Norizzah Baharudin

Alor Gajah: Lima kluster inap desa di negara ini disenaraikan berjaya menjana pendapatan tinggi berdasarkan penilaian prestasi semasa pada tahun lalu.

Homestay Taman Sedia di Cameron Highlands, Pahang mendahului senarai dengan janaan pendapatan RM9.5 juta, diikuti Homestay Kampung Kuala Medang, Kuala Lipis (RM1.8 juta); Homestay Kampung Parit Tengah, Batu Pahat, Johor (RM1.05 juta), Homestay Misompuru, Kudat, Sabah (RM1.01 juta) dan Homestay Desa Murni Kerdau, Temerloh (RM900,000).

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, terdapat sebanyak 206 kluster inap desa di seluruh negara mendaftar di bawah Program Pengalaman Homestay Malaysia membabitkan seramai 3,994 pengusaha.

“Jumlah itu membabitkan penawaran sebanyak 5,604 bilik dengan program Pengalaman Homestay Malaysia pada tahun lalu menjana pendapatan RM30.1 juta berbanding RM27.7 juta pada tahun sebelumnya.

“Di Melaka pula, terdapat sembilan kluster inap desa di sembilan kampung membabitkan 137 pengusaha dengan penawaran 217 bilik mendaftar dengan pihak kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Silang Budaya Bersama Pelajar Jepun di Dataran Inap Desa Kampung Paya Lebar, Masjid Tanah, di sini, malam kelmarin.

Pada program itu, 78 pelajar termasuk 23 dari Jepun berpeluang merasai pengalaman dalam suasana perkampungan, selain didedahkan dengan budaya masyarakat Melayu dalam satu majlis perkahwinan dan majlis keraian.

Hadir sama, Pengarah Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Jeffri Munir.

Mas Ermieyati berkata, program Pengalaman Homestay Malaysia anjuran kementeriannya bertujuan menggalakkan dan meningkatkan penyertaan masyarakat luar bandar dalam sektor pelancongan yang berasaskan komuniti.

Disiarkan pada: April 3, 2018 @ 4:50am
d