mutakhir

Ayah maut, anak parah

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

PEMANDU lori maut, manakala kelindan yang juga anak lelakinya parah selepas lori dinaiki mereka merempuh belakang bas ekspress di Kilometer 45.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Kulai, malam tadi.

Dalam kejadian 10.45 malam itu, kemalangan turut membabitkan tiga kenderaan lain. Bagaimanapun semua mangsa termasuk 27 penumpang bas ekspres tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, mangsa yang meninggal dunia adalah pemandu lori, Zainal Abidin Abdul Rahman, 57, manakala anaknya, Nazrul Haqim Zainal Abidin, 19, parah.

Katanya, hasil siasatan awal pihaknya percaya kemalangan berlaku apabila kesemua kenderaan berada di lorong kiri jalan.

"Apabila tiba di tempat kejadian, semua kenderaan bergerak perlahan dan lori dipandu mangsa tiba-tiba merempuh belakang bas ekspres menyebabkan bas bergerak ke hadapan dan melanggar tiga kereta di hadapannya.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dan mayat dihantar ke Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk bedah siasat yang akan dijalankan 10 pagi ini," katanya dalam satu kenyataan di Kulai, hari ini.

Dzulkhairi berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian mangsa sendiri.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 ," katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2018 @ 9:46am
d