mutakhir

Berjudi pakai uniform kerja

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

SANGGUP memasang 20 kamera litar tertutup (CCTV) di dalam dan di luar bangunan dua tingkat serta mewujudkan lapisan pintu kebal bagi melindungi premis judi mereka daripada diserbu pihak berkuasa.

Malah, kebimbangan sindiket perjudian mesin slot dan simulasi mengenai tindakan pihak berkuasa menjalankan operasi, membuatkan premis di Jalan Gebeng, Kuantan hanya beroperasi dan menerima pelanggan yang dikenali sahaja di sekitar kawasan Perindustrian Gebeng.

Bagaimanapun, segala usaha mereka itu terbongkar selepas Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman menyerbu premis itu serta menahan 31 tahi judi termasuk dua warga asing berusia 20 hingga 60 tahun, malam tadi.

Serbuan diketuai Pegawai Risikan Operasi Perjudian/Maksiat STAGG Bukit Aman, Superintendan Mohd Zaki Ashar itu turut menahan lapan lelaki dipercayai penjaga premis berusia 20 hingga 40 tahun.

Ketua Penolong Pengarah STAGG Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, serbuan dilakukan bermula 9 malam hasil aduan orang ramai sebelum risikan dijalankan selama tiga hari.

“Hasil risikan mendapati premis ini beroperasi lebih sebulan dan berselindung di sebalik premis snooker yang beroperasi di tingkat bawah manakala bahagian atas dijadikan lokasi perjudian.

“Bertindak hasil risikan, kami menyerbu premis berkenaan dan menahan lapan pekerja termasuk lima warga Bangladesh dipercayai bertanggungjawab mengendalikan urusan premis judi berkenaan,” katanya.

Difahamkan premis judi itu turut menjadi tumpuan sebahagian pekerja perindustrian dan kilang di kawasan itu, malah ketika serbuan berakhir 1 pagi tadi itu turut mendapati ada pemain judi yang masih beruniform kilang masuk ke premis itu.

Mohd Nadzri berkata, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM12,290, 20 mesin slot, empat mesin simulator serta buku kutipan harian premis berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(b)(a) serta Seksyen 7(2)Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen.

“Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan lanjut.

“Kami harap orang awam akan terus bekerjasama dengan polis dalam menyalurkan maklumat mengenai aktiviti perjudian di kawasan mereka dan tindakan serta pemantauan berterusan sentiasa dilakukan,” katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2018 @ 12:32pm
d