mutakhir

Mayat tanpa kasut di tebing sungai

Oleh Norasikin Daineh

BAU busuk dihidu seorang buruh membawa kepada penemuan mayat lelaki warga emas di tebing Sungai Padas, Kampung Bakalau, Beaufort, petang semalam.

Mayat Yen Ket Fah @ Peter, 66, ditemui lengkap berpakaian dan dalam keadaan tertiarap di tebing sungai itu pada 2.50 petang.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak, berkata pihaknya menerima laporan pada 3.04 petang daripada pengadu lelaki berusia 28 tahun.

“Pengadu mendakwa ketika berada di rumahnya, dia terhidu bau busuk dari arah Sungai Padas yang jaraknya antara 20 hingga 30 meter.

“Dia kemudian melakukan pemeriksaan sebelum menemui satu mayat tertiarap di tebing sungai dan membuat laporan di Balai Polis Beaufort,” katanya.

Azmir berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati ia adalah mayat lelaki dalam keadaan berpakaian lengkap, namun tidak berkasut.

“Bahagian rusuk kanan mangsa berlubang manakala tangan kanan tinggal tulang dipercayai dimakan binatang.

“Pemeriksaan pada tubuhnya tidak menemui sebarang kecederaan tetapi berdasarkan fizikal, dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh tiga atau empat hari lalu,” katanya.

Azmir berkata, pemeriksaan di kocek seluar menemui lesen motosikal milik lelaki itu dan melalui alamat diperoleh, dia menetap di Kampung Jimpangah.

Beliau berkata, sepasukan polis ke kampung itu untuk mendapatkan maklumat lanjut dan penduduk mendakwa Peter tinggal seorang diri.

Menurutnya, mayat kemudian dihantar ke Hospital Beaufort untuk bedah siasat bagi mengetahui sebab kematiannya dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: April 3, 2018 @ 12:56pm
d