mutakhir

'Dari mana, nak ke mana?'

Oleh Embun Majid

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menunda bot yang membawa 60 pelarian Rohingya dari Myanmar ke markas agensi itu di Bukit Malut, Langkawi.

Difahamkan bot itu ditunda ke markas berkenaan pagi tadi selepas dipintas di perairan utara berdekatan Pulau Langkawi.

Bot itu dipercayai mempunyai kaitan dengan sebuah bot membawa pelarian Rohingya yang sebelum ini terkandas di Thailand akibat cuaca buruk.

Kumpulan pelarian itu dilaporkan cuba masuk ke Malaysia untuk memohon perlindungan susulan keganasan di tanah air mereka di Myanmar.

Kelmarin, media melaporkan sebuat bot membawa sekurang-kurangnya 56 pelarian Rohingya terkandas di sebuah pulau di Thailand ketika dalam perjalanan ke Malaysia akibat cuaca buruk.

Bot yang sarat membawa penumpang lelaki, wanita dan kanak-kanak itu dipercayai berlabuh seketika di pantai barat Thailand berhampiran wilayah Krabi.

Beberapa gambar menunjukkan pelarian berkenaan ditemubual ketika berlabuh dan diiring kembali ke bot mereka sebelum berlepas.

Gabenor Krabi, Kitibodee Pravitra mengesahkan penumpang bot berkenaan adalah pelarian Rohingya, tetapi tidak tahu dari mana mereka datang.

Sementara itu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menghantar pasukan untuk membantu pelarian Rohingya yang diselamatkan Maritim Malaysia di perairan Langkawi, pagi tadi.

Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, bot membawa 56 pelarian itu dikesan Maritim Malaysia berhampiran perairan Pulau Tuba pada 8 pagi.

Katanya, MAPIM mengaktifkan bilik operasi di Langkawi untuk membantu kumpulan pelarian itu.

“Kami sedang mengumpul maklumat lebih lanjut berhubung kehadiran mereka dan akan bekerjasama dengan agensi itu bagi memudahkan bantuan dihulurkan kepada mereka.

“MAPIM sedia bekerjasama dengan pihak keselamatan agar dapat memberi bantuan awal terutama kepada kanak-kanak dan wanita yang difahamkan turut berada dalam bot itu.

"Kami mengharapkan jika benar mereka adalah pelarian Rohingya, pihak kerajaan perlu mempertimbangkan atas dasar kemanusiaan bagi membantu mangsa terbabit,” katanya.

Beliau berkata, MAPIM pernah mengendalikan bantuan makanan, pakaian dan rawatan kesihatan pelarian Rohingya yang tiba di Langkawi tiga tahun lalu, jadi mereka sudah bersedia untuk membantu pelarian terbabit kali ini.

Disiarkan pada: April 3, 2018 @ 2:30pm
d